Tatacara pengambilan perkhidmatan bergaji hari dalam perkhidmatan awam

Merujuk kepada surat pembaca bertarikh 29 Julai lalu bertajuk ‘Sejauh Mana Ketulusan Pengambilan Pekerjaan?,’ Jabatan Perkhidmatan Awam, melalui Unit Perhubungan Awam dan Koordinasi Bahagian Pembangunan dan Pengurusan memaklumkan pengambilan kakitangan secara bergaji hari adalah di bawah kawalan dan bidang kuasa setiausaha tetap atau ketua jabatan masing-masing.

Bagi pengambilan gaji hari khusus bagi lepasan ijazah dan Diploma Tertinggi Kebangsaan adalah dikawal oleh Surat Keliling Jabatan Perdana Menteri bilangan 2/2007. Manakala bagi pengambilan gaji hari biasa adalah mengikut garis panduan di dalam Surat Pemberitahuan Jabatan Perkhidmatan Awam bilangan 12/2013.

Ketua Jabatan hendaklah memastikan bahawa perkara-perkara berikut dilaksanakan menurut kesesuaian (i) Menubuhkan Jawatankuasa Pengambilan Pekerja-Pekerja Bergaji Hari sekurang-kurangnya terdiri daripada lima (5) orang ahli dan dipengerusikan oleh Ketua Jabatan, (ii) Mengadakan ujian bertulis (jika perlu), (iii) Mengadakan temuduga, (iv) Membuat laporan ujian bertulis (jika perlu) dan temuduga dan (v) Memastikan semua calon yang disokong telah memenuhi syarat-syarat (keperluan akademik/kepakaran) dan berasaskan kepada jawatan dan tugas yang diperlukan oleh Kementerian/Jabatan.

Jabatan Perkhidmatan Awam sangat menghargai komen daripada penulis khususnya yang melibatkan ketelusan dalam tatacara pengambilan secara bergaji hari daripada kementerian dan Jabatan-Jabatan dalam bersama-sama memastikan keadilan dan integriti dalam apa juga proses termasuk tatacara pengambilan kakitangan secara bergaji hari dalam Perkhidmatan Awam itu ditanai dan dipelihara.

Bagi sebarang penerangan lanjut, penulis bolehlah menghubungi Unit Perhubungan Awam, Bahagian Pembangunan dan Pengurusan, Jabatan Perkhidmatan Awam di alamat berikut:

Unit Perhubungan Awam dan Kordinasi Bahagian Pembangunan dan Pengurusan Jabatan Perkhidmatan Awam Simpang 156, Jalan Kumbang Pasang, BA 1311 Emel : [email protected] Tel : 2382469 ext 202