Tatacara sambut Aidilfitri

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 MEI – Sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) telah mengadakan Tazkirah Khas Aidilfitri dengan tajuk ‘Tatacara Menyambut Aidilfitri Mubarak’.

Tazkirah dalam talian berkenaan disampaikan oleh Ra’es KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Basar yang mana mengongsikan beberapa tatacara menyambut Aidilfitri.

Beliau berkata, apabila makluman rukyah hilal dan bulan sabit dapat dilihat, “Sayugianya kita bersyukur kepada Allah SWT, sambil terus berdoa semoga segala amal ibadat kita sepanjang bulan Ramadan diterima oleh Allah SWT dan memohon kepadaNya supaya dapat menikmati pula bulan Ramadan pada tahun berikutnya.

“Kita disarankan untuk harus memperbanyakkan zikrullah seperti pada malam-malam bulan Ramadan lebih khusus pada malam

Aidilfitri ini, kita sayugianya memperbanyakkan takbir seperti takbir Hari Raya secara beramai-ramai atau secara bersendirian hinggalah ke subuh hari,” ujar beliau.

Di samping itu, tambah beliau, isikan juga pada malam Syawal dengan qiamullail, seperti solat Sunat Tahajud, Hajat dan Witir serta memperbanyakkan tilawah dan berdoa sambil meneruskan takbir.

“Seperti biasa, kita akan bangun solat Fardu Subuh secara berjemaah, meneruskan takbir dan kita disunatkan untuk mandi Sunat Aidilfitri kemudian hiasilah diri dengan pakaian yang paling bagus, bersih dan cantik sebagai tanda syukur kita kepada Allah SWT dengan pemberian kedatangan Aidilfitri,” tambahnya.

Beliau juga menasihatkan, buat Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini mengikut garis panduan yang telah ditetapkan, terapkan penjarakan sosial, elakkan kunjung mengunjungi terlalu lama di rumah sanak saudara dan beredar untuk mengelakkan berkumpul terlalu ramai.