Wednesday, October 9, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Taufan Helene cetus bencana banjir terburuk di AS

    NEW YORK, 2 OKT – Amaran bahawa Taufan Helene akan menjadi ‘ribut sekali dalam 100 tahun’ bagi kawasan pergunungan Appalachians di Amerika Syarikat (AS) terbukti benar apabila bencana melanda bahagian barat Utara Carolina, timur Tennessee, Selatan Carolina dan Georgia, menurut laporan USA Today, semalam.

    Menurut laporan itu, bencana tersebut telah mengorbankan puluhan nyawa dan ratusan lagi dilaporkan hilang. Ribuan rumah dan harta benda musnah, dengan jalan raya yang rosak serta kerugian dianggarkan mencecah puluhan bilion dolar.

    Keadaan banjir yang dahsyat di kawasan pergunungan barat Utara Carolina dipengaruhi oleh jumlah hujan yang luar biasa sebelum dan semasa Taufan Helene melanda, menghasilkan “banjir paling teruk pernah direkodkan,” kata Corey Davis, Penolong Pakar Klimatologi Negeri Utara Carolina, dalam satu catatan blog yang dipetik oleh akhbar itu.

    Pakar cuaca memaklumkan bahawa bencana banjir tersebut disebabkan oleh gabungan cuaca, hidrologi, dan geografi yang tidak menguntungkan.

    Hujan lebat yang tidak pernah disaksikan sebelum ini melanda kawasan seluas lebih 200 batu, dengan air yang mengalir deras dari puncak-puncak gunung, menukar aliran sungai pergunungan menjadi arus deras. Banjir tersebut telah menenggelamkan lembah-lembah, melanda sebuah hospital di East Tennessee dan memutuskan hubungan seluruh komuniti di barat North Carolina. – Xinhua

    Beberapa buah rumah dan kenderaan kelihatan rosak akibat banjir kilat berikutan Taufan Helene melanda kawasan di tepi jalan berhampiran Sungai Swannanoa, di Swannanoa, Utara Carolina, baru-baru ini. – AP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda