Taufan Laura badai AS, empat maut

HOUSTON, 28 OGOS – Sekurang-kurangnya empat orang maut akibat taufan Laura yang membadai Louisiana dan Texas, selatan Amerika Syarikat (AS) pada Khamis, lapor agensi berita Xinhua memetik media tempatan.

Mangsa yang maut itu termasuk seorang remaja, 14 tahun, selepas rumahnya dihempap pokok tumbang, kata Gabenor Louisiana John Bel Edwards. Beliau memberi amaran jumlah korban mungkin meningkat memandangkan misi mencari dan menyelamat masih berjalan, membabitkan ribuan pegawai tempatan, negeri dan persekutuan.

Menurut akhbar tempatan The Advocate, kapal pelayaran yang menempatkan kasino turut hanyut dan tersangkut di bawah Jambatan Tasik Charles di barat Louisiana, menyebabkan penutupan lebuh raya.

Kebakaran turut berlaku di sebuah kilang gas klorin di daerah itu. Selain itu, lebih 600,000 rumah dan pernia-gaan mengalami gangguan bekalan elektrik.  Jabatan Kesihatan Louisiana mengatakan sekurang-kurangnya 67 sistem air “tidak dapat digunakan,” mengakibatkan lebih 200,000 penduduk bakal mengalami gangguan bekalan air bersih.

Gabenor Texas Greg Abbott berkata semalam bandar Orange di timur Texas  turut mengalami kemusnahan yang teruk akibat ribut.

Ribut itu membadai Cameron Parish, Louisiana kira-kira 1 pagi semalam, menjadikannya taufan paling kuat pernah melanda Louisiana dalam tempoh 150 tahun. Taufan kategori empat itu mencetuskan hujan lebat dan angin kencang, maksimum 240 kilometer sejam. – Bernama