QUANG NGAI, VIETNAM, 28 OKT – Dua orang dilaporkan terkorban manakala 26 lagi hilang ketika Taufan Molave melanda tengah Vietnam hari ini, menumbangkan pokok dan menerbangkan bumbung rumah dalam beberapa bencana terburuk yang pernah disaksikan beberapa tahun ini.
Pihak berkuasa menempatkan sekitar 375,000 orang ke tempat selamat, membatalkan ratusan buah penerbangan dan menutup sekolah-sekolah dan pantai menjelang taufan, yang membuat pendaratan di selatan Danang dengan membawa angin kencang sekitar 145kmsj.
Media kerajaan berkata kira-kira dua orang terbunuh di wilayah Quang Ngai ketika cuba untuk melindungi rumah mereka dari ribut.
“Penduduk Vietnam cukup kental, meskipun ia adalah kemusnahan paling terburuk pernah disaksikan di kebanyakan kawasan,” kata Presiden Persatuan Palang Merah Vietnam, Nguyen Thi Xuan Thu.
“Ribut kencang dan banjir telah meragut jiwa, memusnahkan mata pencarian dan memindahkan jutaan yang lain.”
Para pegawai juga mencari 26 nelayan yang hilang, dengan ribut – yang keempat bagi Vietnam bulan ini – membawa ombak setinggi enam meter dengan tenaga elektrik terputus di seluruh rantau.
Kapal tentera laut dan pengawasan telah dikerahkan untuk mencari kru nelayan berkenaan selepas dua bot hilang selepas mereka cuba untuk berlabuh, kata Timbalan Perdana Menteri Trinh Dinh Dung.
Tegahan menangkap ikan telah dikenakan sejak kelmarin, sementara semua lapangan terbang di kawasan itu telah ditutup sehingga notis selanjutnya.
Taufan muncul setelah beberapa minggu banjir teruk dan tanah runtuh yang telah meragut 130 jiwa dan menjejaskan lebih 310,000 buah rumah, menurut Persekutuan Palang Merah Antarabangsa dan Persatuan Bulan Sabit Merah (IFRC).
Hampir 1.2 juta orang ‘dalam bahaya’ dan memerlukan bantuan, IFRC memberi amaran. – AFP