Taufan Nicholas cetus ancaman banjir di Texas

HOUSTON, 14 SEPT – Ahli meteorologi memberi amaran mengenai tahap hujan merbahaya ketika ribut Nicholas membentuk taufan di pantai Texas yang dijangka melanda daratan.

Pegawai cuaca berkata Nicholas membawa angin kencang maksimum 120 kilometer sejam dan dijangka menurunkan sehingga 460 milimeter hujan di daerah Houston.

Nicholas membawa hujan lebat, angin kencang dan gelombang ribut ke bahagian tengah dan pantai Texas, kata Pusat Taufan Nasional (NHC).

“Terdapat kemungkinan berlakunya banjir kilat yang mengancam nyawa, terutama di kawasan metropolitan dan bandar,” demikian amaran melalui buletin terbaharunya.

Hujan lebat antara enam hingga 12 inci dijangka turun di bahagian Texas dan barat Louisiana, dengan jumlah maksimum terpencil 18 inci.

NHC yang berpangkalan di Miami berkata pusat taufan terletak kira-kira 30 kilometer tenggara Matagorda, di Teluk Mexico.

Matagorda terletak hanya beberapa batu di barat daya Houston, bandar terbesar di Texas.

NHC mengeluarkan peringatan lonjakan ribut di sebahagian besar pantai, yang bermaksud timbulnya risiko yang mengancam nyawa daripada peningkatan paras air daripada garis pantai.

Pihak berkuasa membina sekatan, mengaktifkan pejabat pengurusan kecemasan Houston dan memaklumkan penduduk untuk mengambil langkah keselamatan tambahan. – AFP

Celbing Diaz memancing ikan sebelum Ribut Tropika Nicholas di Galveston, Texas pada 13 September. Ribut Nicholas dijangka mendarat membawa hujan lebat dan mencetuskan ancaman banjir kilat. – AFP