Taufan Sally landa tenggara AS

PENSACOLA, 17 SEPT – Taufan Sally menumbangkan beberapa pokok, menyebabkan banjir kilat dan memutuskan bekalan elektrik serta dilaporkan meragut satu nyawa, apabila ia membadai tenggara Amerika Syarikat (AS), kelmarin bersama hujan lebat.

Taufan Sally tiba di Alabama dan di sepanjang sempadan Florida pada tahap kategori dua sebelum berubah menjadi ribut tropika, dan menyebabkan banjir teruk, kata Pusat Taufan Kebangsaan (NHC) AS.

“Banjir yang teruk dan mengancam nyawa berlaku berterusan di Florida dan selatan Alabama,” jelas NHC.

Media AS melaporkan satu kematian di Orange Beach, Alabama, namun Datuk Bandar, Tony Kennon, memaklumkan belum menerima maklumat terperinci mengenainya, menurut AL.com.

Antara lokasi yang terkesan teruk dengan banjir adalah di Pensacola, Florida, yang mempunyai penduduk sekitar 52,000 orang. Polis Pensacola menerusi Twitter memberi amaran kepada penduduk supaya mengelak daripada keluar ke jalan raya yang ditenggelami banjir dan dipenuhi pelbagai serpihan yang diterbangkan angin kencang.

Ketika ini, penduduk bertahan daripada ribut itu tanpa makanan dan air bersih, serta tidak sempat memasang penghadang cermin atau beg pasir di hadapan pintu rumah.

Taufan itu dijangka menjadi semakin lemah dalam tempoh semalaman antara semalam hingga hari ini.

Lebih 515,000 rumah dan perniagaan di Alabama dan Florida terputus bekalan elektrik, menurut laman sesawang poweroutage.us. – AFP

Kelihatan kereta dan motosikal ditenggelami air di sebatang jalan di Pensacola, Florida pada 16 September. – AP