Wednesday, November 6, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Taufan Super Kong-rey landa Taiwan ragut 1 jiwa, 73 cedera

    TAIPEI, 31 OKT – Taufan Super Kong-rey melanda Taiwan hari ini, mengakibatkan seorang maut dan 73 cedera akibat kemalangan yang berpunca daripada hujan lebat dan angin kencang, lapor agensi akhbar Jerman (dpa), memetik Pusat Operasi Kecemasan Pusat (CEOC).

    Radius ribut Kong-rey melebihi 320 kilometer (km), menjadikannya taufan terbesar yang melanda Taiwan dalam tempoh hampir tiga dekad. Kali terakhir taufan dengan radius ribut melebihi 300km mendarat di pulau itu ialah Taufan Herb pada 1996, menurut agensi berita pusat yang dikendalikan kerajaan.

    Ribut itu mendarat di timur Taiwan hari ini, menurut Pentadbiran Cuaca Pusat (CWA).
    Di tengah Taiwan, kerajaan Daerah Nantou melaporkan sebuah trak dihempap pokok di tepi jalan, menurut CEOC. Dalam kemalangan itu, seorang wanita berusia 56 tahun dibawa ke hospital tetapi disahkan meninggal dunia pada sebelah petang.

    Sementara itu, 73 orang di sekitar pulau itu cedera dalam kemalangan yang dikaitkan dengan taufan berkenaan, menurut CEOC.

    Ia melaporkan lebih 1,429 kemalangan, seperti pokok tumbang dan kerosakan jalan raya, sambil menambah 9,658 orang di kawasan yang terdedah kepada bencana di bandar dan daerah yang berbeza dipindahkan.

    Di sekitar pulau itu, kira-kira 207,209 isi rumah mengalami gangguan bekalan elektrik hari ini.

    Sekolah dan perniagaan di seluruh Taiwan ditutup hari ini. Pasaran kewangan juga ditutup.

    Cuaca buruk mengakibatkan pembatalan semua penerbangan domestik dan kira-kira 298 penerbangan antarabangsa digantung. Semua perkhidmatan feri rentas selat dan domestik digantung hari ini. – Bernama

    Ombak kuat menghempas tembok semasa Taufan Super Kong-rey bergerak ke arah Taiwan, di Keelung pada 31 Oktober. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda