Tauke nak saman difitnah terlibat kegiatan pemerdagangan manusia

Pelawak Tauke Jambu bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu yang menyebarkan fitnah dan berita palsu berkaitan dirinya yang ditahan polis bagi membantu siasatan kes kegiatan pemerdagangan manusia untuk tujuan seks, baru-baru ini.

Tauke berkata, dia kesal apabila kerjasama penuh yang diberikan kepada pihak berkuasa susulan kes berkenaan disalah erti sehingga menghukum dirinya.

“Harap maklum kepada semua, tindakan undang-undang akan diambil oleh pihak peguam saya susulan daripada pelbagai kenyataan tidak berasas, fitnah, cacian serta penyebaran berita palsu berkaitan dengan saya baru-baru ini.

“Kerjasama yang saya berikan kepada pihak polis sudah disalah anggap dan banyak pihak memilih untuk menghukum sebelum menilai,” katanya.

Menurut Tauke, dia berharap tindakan undang-undang yang akan diambil dapat menghentikan sebarang penyebaran berita palsu di media sosial.

“Saya berharap melalui tindakan undang-undang ini dapat menghentikan sebarang penyebaran berita palsu di media sosial yang menjadi norma dalam kalangan masyarakat hari ini,” katanya.

Dalam kenyataan sebelum ini, Tauke menafikan dakwaan yang tular mengatakan dia membawa peralatan seks seperti yang dikaitkan dalam kes pada 1 Ogos lalu.

Menurut Tauke, dia hanya membawa buah tangan berupa rambutan gading dan petai untuk diberikan kepada isterinya. – Agensi

Tauke Jambu bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu yang menyebarkan fitnah. – Agensi