Taurean Bakeshop rasmi cawangan baharu di PJSC

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MAC – Taurean Bakeshop & Cafe secara rasmi membuka cawangan terbaharunya di Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC) menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh PJSC, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, pembukaan cawangan tersebut disempurnakan oleh Pengarah Eksekutif PJSC, Dr Haji Mazrul Adimin bin Haji Awang Besar; Pengurus Taurean Bakeshop & Cafe, Tsang Poh Yee; Pengarah Perubatan PJSC, Dr Meera Sahib Kabeer; dan Ketua Pegawai Operasi PJSC, Zauyah Tarmizi.

Turut hadir semasa majlis itu ialah Pengarah The Brunei Cancer Centre, Dato Seri Laila Jasa Dr Babu Sukumaran; Ketua Perkhidmatan Pencegahan Kanser dan Pengesanan Awal, Datin Dr Hajah Noraslinah binti Haji Ramlee; Pengurus Kanan Pertumbuhan Perusahaan (Penasihat Perniagaan dan Perkhidmatan) Darussalam Enterprise (DARe), Dayang Nurul Ain binti Jaafar; pegawai-pegawai pengurusan kanan PJSC dan Jerudong Park Medical Centre serta kakitangan.

Majlis dimulakan dengan kata alu-aluan oleh Dr Haji Mazrul Adimin di mana beliau menyatakan bahawa walaupun menyediakan perkhidmatan perubatan berkualiti tinggi merupakan matlamat utama PJSC, pusat berkenaan terus berusaha untuk meningkatkan kemudahan hospital bagi para pesakit, tetamu dan kakitangan.

Pada majlis itu, Dr Haji Mazrul Adimin dan para jemputan berpeluang untuk melawat serta menyaksikan lebih dekat cawangan terbaharu Taurean Bakeshop yang diiringi oleh Tsang Poh Yee.

Taurean Bakeshop di PJSC menawarkan pelbagai roti kegemaran pelanggan dan juga roti keluaran unik kedai berkenaan yang dihasilkan iaitu roti buah dan sayur-sayuran seperti keledek, bayam, tomato dan labu tanpa campuran gula.

Dr Haji Mazrul Adimin dan Tsang Poh Yee bersama-sama memotong reben menyempurnakan perasmian cawangan terbaharu Taurean Bakeshop and Cafe. – Gambar serahan PJSC