Tawan lubuk ungah dan selungsung

Oleh Haziman Yussop

Para pemancing tegar tempatan sememangnya mengetahui tempat-tempat atau lokasi yang biasanya sesuai untuk menangkap jenis-jenis ikan yang diinginkan, termasuklah salah seorang pemancing tegar bernama Alwie Salleh.

Pekerjaannya sebagai seorang guru di sekolah menengah tidak menghalangnya untuk melakukan hobi yang digemarinya iaitu memancing. Beliau yang berusia 37 tahun itu mengisikan masa lapangnya untuk memancing bersama rakan-rakan ataupun bersendirian.

Alwie mengatakan bahawa untuk memilih lokasi memancing perlu mengikut keadaan cuaca dan air. Jika cuaca mengizinkan, dia akan pergi ke laut dan jika angin agak kuat dan laut yang berombak, beliau hanya akan memancing di kawasan sungai-sungai di negara ini.

Pada kebiasaannya, untuk mengisi masa lapang, beliau akan pergi ke Kampung Tamoi Ujung.

Beliau berkata, “Keadaan dasar sungai dan tiang-tiang jeti di kampung tersebut memberikan struktur untuk ikan pemangsa berlindung dan menunggu ikan-ikan kecil menjadi makanannya. Jadi, ia amat sesuai jika memancing menggunakan umpan palsu (gewang) di kawasan tersebut.”

Alwie Salleh memperoleh ikan ungah semasa memancing di kawasan jeti Kampung Tamoi Ujung.
Alwie gembira dengan hasil tangkapan yang memuaskan.

Umpan yang digunakan haruslah mengikut kesesuaian dengan jenis-jenis ikan yang hendak dipancing. Bagi beliau pula, umpan palsu harus dilakukan secara berulang kali, baling dan karau (gulung). Manakala untuk memancing menggunakan gewang, joran, tali haruslah sesuai dengan peralatan yang berpatutan,” tambahnya lagi.

Sememangnya jika ada keinginan untuk memancing, Alwie akan pergi ke tempat kesukaannya di mana penduduk yang tinggal di tempat tersebut juga suka memancing.

Lebih-lebih lagi semasa waktu penggal cuti sekolah atau pada hari Jumaat dan Ahad, beliau lebih suka pergi ke laut bersama rakan-rakannya. Walau bagaimanapun, pada hari-hari biasa, Alwie sering kali meluangkan masa lapangnya untuk pergi memancing selepas waktu bekerja walaupun hanya mengambil masa selama satu jam.

Menurutnya lagi, tempoh bagi memancing adalah tidak menentu kerana aktiviti tersebut tertakluk kepada keadaan air.

“Saya memancing di kawasan tersebut paling lama kebiasaannya selama tiga jam dan kadang-kadang pun paling sekejap dalam 30 minit sahaja, kerana memancing pun bergantung kepada keadaan air dan keadaan semasa,” ujarnya.

Kebanyakan jenis ikan yang berjaya ditangkapnya ialah ikan selungsung dan ikan ungah.

Lazimnya di kawasan tersebut dipenuhi dengan ikan seperti ikan selungsung, iaitu sebagai ikan pemangsa yang menjadikan ikan-ikan kecil sebagai makanannya.