Tawan Puncak Bukit Sipatir

Oleh Nurdiyanah R.

Bersatunya mereka mengorak langkah meniti jalan penuh berliku-liku, itulah keyakinan dan semangat juang yang tinggi sentiasa mewarnai dalam diri setiap insan bergelar pendaki.

Kepenatan pasti terasa dan kadangkala timbul juga rasa putus asa dalam diri, namun mereka tetap bertahan dan berjuang demi satu matlamat dalam mencorakkan peribadi dengan amalan kehidupan yang sihat.

“Memiliki masyarakat yang sihat dari segi fizikal mahupun mental amat penting dititikberatkan kerana kita semua umpama cermin masa hadapan sesebuah negara yang pastinya berperanan dalam merealisasikan hasrat negara dari semasa ke semasa. Oleh itu, alangkah baiknya, aktiviti lasak sebegini sentiasa diamalkan oleh seluruh lapisan masyarakat di negara ini demi menuju ke arah warga yang sihat, di samping menimba pengalaman menerokai salah sebuah bukit yang tidak asing lagi di ibu negara, sekali gus dapat menambahkan tahap kesedaran mengenai pemeliharaan kelestarian alam semula jadi yang menjadi tanggungjawab bersama,” kata-kata yang disampaikan oleh jurupandu, Dayang Salmah binti Haji Ja’afar, yang mengetuai aktiviti mendaki Bukit Sipatir lebih kurang sejauh kira-kira hampir enam kilometer yang terletak di Kampung Subok, Daerah Brunei dan Muara, baru-baru ini.

Keindahan kehijauan khazanah

Lebih 15 orang penggemar mendaki bukit telah menyahut cabaran sihat itu yang mana wartawan Media Permata sendiri merupakan salah seorang peserta yang semestinya tidak melepaskan peluang keemasan ini untuk turut serta menerokai keindahan khazanah alam semula jadi yang masih kehijauan dan penuh kesegaran.

Meskipun titisan peluh membasahi diri dengan panas terik daripada pancaran matahari yang menyinari bumi, lebih-lebih lagi laluan sukar dalam menerokai bukit-bukau yang curam sememangnya menjadi salah satu cabaran dalam pendakian, namun mereka tetap tersenyum dan tabah untuk menuju ke destinasi yang didambakan.

Lebih 15 orang peserta berjaya menjejaki kaki di puncak Bukit Sipatir setelah meniti perjalanan lebih kurang sejauh kira-kira hampir enam kilometer yang terletak di Kampung Subok, Daerah Brunei dan Muara.
Menerokai bukit-bukau yang curam sememangnya menjadi salah satu cabaran dalam pendakian, namun mereka tetap tersenyum dan tabah untuk menuju ke destinasi yang diimpikan.
Antara peserta yang merakamkan detik terindah di salah sebuah pondok kayu yang dibina di kawasan Bukit Sipatir.

Semasa menemui salah seorang peserta yang pertama kali mendaki bukit berkenaan, Dayang Nurul Asilah binti Kamran mengungkapkan perasaan kesyukuran kerana berjaya mendaki Bukit Sipatir dengan lancar.

“Pastinya keseronokan dan kepuasan dirasai selepas menjejaki, mendaki dan merentasi laluan sukar untuk menuju ke puncak bukit itu. Ia merupakan pengalaman terindah yang tidak dapat dilupakan sampai bila-bila. Meski lelah namun kemanisan perasaan yang dirasai ini amat sukar untuk diungkapkan sedalam-dalamnya dengan kata-kata, lebih-lebih lagi dengan adanya nikmat pemandangan indah yang jelas membuktikan betapa agungnya ciptaan Allah SWT yang masih mengekalkan kesegaran alam semula jadi penuh kehijauan yang begitu menakjubkan dihiasi pula dengan pemandangan Sungai Brunei dari puncak bukit,” ujar beliau dengan nada penuh kegembiraan.

Suasana santai bersama

Persekitaran bukit yang bersih penuh ketenangan dengan bunyi-bunyi burung yang berkicauan tetap menghiasi setiap langkah perjalanan kami menuju ke misi pendakian. Keaslian panorama indah itu turut diserikan dengan pelbagai jenis tanaman buah-buahan milik penduduk kampung di sekitarnya. Pondok-pondok kayu yang dibina sebagai tempat perhentian juga pastinya dapat mewujudkan suasana santai bersama.

Menurut salah seorang peserta yang berasal dari Scotland, Aamina Kauser turut mengungkapkan kegembiraan yang tidak terhingga di atas peluang untuk menjejakkan kaki ke salah sebuah tempat riadah di negara ini yang masih mengekalkan kehijauan bumi.

“Bukan hanya kepuasan riadah yang diperoleh, bahkan aktiviti ini juga sememangnya mampu mewujudkan kenangan manis yang tidak dapat dilupakan bersama rakan-rakan seperjuangan lain di negara ini terutama tersemainya semangat kerjasama dan sokongan antara satu sama lain. Semuanya sentiasa tersemat indah di hati dan jiwa ini sampai bila-bila,” tambahnya lagi yang pertama kali berkunjung di negara ini.

Kepuasan bersama

Manakala salah seorang penggiat aktiviti lasak yang berasal dari Daerah Tutong, Awang Mohammad Shahrol Redhwan turut menjelaskan bahawa beliau mula berjinak-jinak dalam dunia mendaki bukit ini sejak beberapa tahun lalu yang mana setiap pendakian itu pastinya mempunyai cabaran-cabaran yang tersendiri.

“Daripada aktiviti sebeginilah, ia sememangnya mampu mendidik para peserta akan sifat sabar dan juga menguji semangat setia kawan dalam mengharungi apa jua keadaan semasa melakukan aktiviti pendakian. Apa yang pasti, adalah menjadi kepuasan bagi saya jika saya dan rakan-rakan berjaya mendaki dan menuruni bukit-bukau yang diterokai bersama-sama,” ujar beliau lagi yang telah menyertai pendakian di Bukit Sipatir sebanyak empat kali.

Pentingnya langkah keselamatan

Dalam pada itu, Dayang Salmah selaku jurupandu aktiviti mendaki bukit berkenaan yang kini berusia 50 tahun telah menjelaskan bahawa aktiviti mendaki bukit ini merupakan salah satu aktiviti yang ekstrem dan menguji ketahanan mental serta fizikal. Oleh itu, langkah-langkah keselamatan semasa memulakan dan juga menyertai aktiviti lasak ini perlulah dititikberatkan oleh semua pihak.

“Salah satunya ialah peserta mestilah memastikan mereka memiliki tahap kesihatan tubuh badan yang sangat baik. Selain itu, segala keperluan mendaki bukit juga hendaklah bersesuaian seperti penggunaan kasut khas, tongkat, jika perlu serta bekalan air secukupnya. “Di samping, penyediaan barangan bantuan cemas (first aid) dan juga alat komunikasi iaitu telefon bimbit, amat penting bagi mencegah segala perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya semasa mengakhiri sesi temu bual bersama Media Permata baru-baru ini.