Friday, February 14, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tawan puncak Gunung Annapurna, bukti kecekalan wanita tempatan

    Oleh Nurdiyanah R.

     

    PERASAAN cemas, takut dan letih pasti terlintas dalam diri setiap individu yang bergelar pendaki gunung.

    Namun jika mereka memandang ke atas, melihat puncaknya, seolah-olah terlihat jelas sebuah harapan dan kebahagiaan yang menanti.

    Ada yang cedera anggota badan, ada yang mengalami masalah ketegangan otot, kelelahan yang teramat sangat di bahagian kaki, nafas terasa sesak dan jantung seakan-akan hampir pecah, malah ada juga terasa haus yang mencekik dan ada pula berhadapan dengan perasaan hampir putus asa seolah-olah perjalanan tiada penghujungnya.

    Semuanya itu pasti dialami oleh sesiapa sahaja insan yang pernah mendaki gunung bahkan juga bukit-bukau yang penuh dengan liku-liku cabaran dan rintangan.

    Namun semua itu pasti terbalas sepenuhnya setelah mereka tiba di puncak yang diharap-harapkan.

    Gambar kenangan Dayang Norlisa dan rakan-rakan selaku wakil Negara Brunei Darussalam bergambar ramai bersama pendaki-pendaki yang berasal dari negara-negara luar.
    Dayang Norlisa bergambar kenangan dengan penuh kegembiraan bersama rakan seperjuangan beliau yang turut sama mendaki Gunung Annapurna, Nepal.
    Dayang Norlisa (dua, kanan) ketika berada di ibu kota Nepal, Kathmandu bersama rakan pendaki lain sebelum meneruskan pengembaraan ke Kem Pangkalan Annapurna.

    Semua pengorbanan itu tidak sepadan dan tiada ertinya lagi, setelah kedua-dua kaki mereka berpijak di puncak tertinggi.

    Gunung itu memang tinggi, namun samalah juga setinggi cita-cita para pendaki.

    Dengan memiliki jiwa yang tulus dan penuh rasa menghargai. Seolah-olah cinta tidak lepas dari hati mereka sehingga tersemainya satu semangat yang mendalam disertai dengan keteguhan prinsip iaitu kejarlah waktu secepat-cepatnya untuk menjejaki sebuah impian dan harapan serta setiap saat lakarlah sebuah kenangan suka dan duka dalam meniti erti sebuah perjuangan abadi.

    “Bermula pada 1 Mei lalu, itulah detik pengembaraan saya mendaki gunung buat pertama kali dalam hidup saya. Syukur dipanjatkan kepada Allah Subhanahu Wata’ala, itulah kata-kata yang dapat menggambarkan kegembiraan saya ketika berjaya menjejaki ke puncak gunung bersama rakan-rakan seperjuangan yang lain pada masa itu.”

    “Segala pahit manis telah kami lalui bersama demi merealisasikan misi penggembaraan yang kami impikan selama ini. Namun semuanya terbalas setelah kami berjaya meluangkan masa kurang daripada seminggu menaiki dan juga menuruni puncak gunung itu dengan izin-Nya jua,” itulah antara kata-kata yang disampaikan oleh seorang wanita tempatan, Dayang Norlisa binti Mohd Shukri yang telah berjaya mencapai cita-citanya menerokai pergunungan Annapurna, salah sebuah gunung di Nepal melalui Kem Pengkalan Annapurna (ABC) yang memiliki ketinggian 4,130 meter dari paras laut, semasa ditemui Media Permata baru-baru ini.

    Terdetik hati menceburi dunia pendakian

    Terdetiknya hati Dayang Norlisa, yang kini berusia 29 tahun, untuk mengikuti pengembaraan mendaki gunung itu adalah inspirasi dari sebuah dokumentari luar negara yang memperlihatkan aksi seorang lelaki telah berjaya menaiki gunung berkenaan meskipun usianya sudah mencecah 77 tahun.

    “Tersemat di hati saya, mengapa kita yang masih dikurniakan tenaga ini tidak mampu melakukan perkara sedemikian? Bermula dari saat itulah saya mencabar diri saya sendiri untuk mengikuti aktiviti sukan lasak seperti ini.”

    “Impian saya pada ketika itu semakin terlaksana apabila rakan sekerja saya mempelawa saya dan empat orang rakan lain untuk mengikuti ekspedisi ABC sehingga akhirnya kami semua memutuskan untuk menerima cabaran itu,” jelas beliau, yang berasal dari Daerah Belait, ketika mengimbas kembali kenangan dalam menceburi dunia pendakian.

    Kesegaran cuaca mendung diselimuti dengan kedinginan awal pagi yang dirasai oleh Dayang Norlisa semasa berada di Gunung Annapurna, Nepal.
    Suasana Gunung Annapurna, Nepal pada waktu malam yang pastinya menyerlahkan lagi keindahan alam dengan hembusan udara yang sangat dingin berserta turunnya salji disekitarnya.
    Dayang Norlisa meneruskan laluan pengembaraan beliau bersama rakan-rakan yang lain untuk menuju ke destinasi yang dihasratkan.

    Persiapan mencapai sebuah misi

    Walaupun tiada pengalaman dalam mengikuti pengembaraan mendaki gunung, namun Dayang Norlisa tetap berusaha dengan mengikuti latihan-latihan tertentu untuk meningkatkan stamina beliau sebelum mengikuti misi berkenaan.

    Salah satunya adalah dengan menjalankan latihan mendaki Bukit Shah Bandar selama empat kali seminggu.

    Di samping itu, beliau juga mengamalkan gaya hidup sihat seperti mengkonsumsi pemakanan yang seimbang dan teratur.

    “Persediaan dari segi mental dan fizikal memang perkara yang amat penting diterapkan dalam diri sebelum tibanya misi pengembaraan mendaki Annapurna. Setiap pendakian itu pasti memiliki pelbagai cabaran dan rintangan, Oleh itu saya sentiasa mengamalkan pemikiran positif dan melatih jiwa agar menjadi lebih kental dari semasa ke semasa. Bagi saya, itulah kunci rahsia jika kita ingin merealisasikan sesebuah cita-cita atau impian,” ujar beliau dengan penuh semangat.

    Meniti liku-liku cabaran

    Puncak gunung itu umpama puncak dari segala puncak. Kenikmatan lebih dirasai tatkala kabus menyelimuti atau hembusan angin menerpa diri dengan sinaran matahari di siang hari serta kegemerlapan terangnya bulan di malam hari.

    Itulah salah satu keagungan karya yang sangat indah dari Yang Maha Pencipta sekalian alam semesta.

    Sesuatu yang sukar diungkapkan dengan kata-kata adalah apabila melihat betapa besarnya kebesaran ciptaan pelbagai keindahan alam yang diperlihatkan kepada hamba-hamba-Nya di dunia ini.

    Itulah antara yang dirasai oleh Dayang Norlisa sendiri ketika menjejakkan kaki ke puncak Annapurna dengan pemandangan langit yang cantik sehingga semua terpaku menghayati keindahan ciptaan-Nya yang tiada tandingannya di dunia ini.

    Sekitar kaki Gunung Annapurna, Nepal yang memiliki suasana ketenangan dengan aliran arus kejernihan sungai yang dikelilingi dengan batu-batu besar.
    Dayang Norlisa menikmati suasana keindahan pemandangan Gunung Annapurna, Nepal semasa melaksanakan misi pengembaraan beliau menakluki Gunung Annapurna.
    Dayang Norlisa ketika ditemui wartawan Media Permata baru-baru ini.

    “Walaupun dengan keadaan cuaca yang agak sejuk, hujan, angin yang kencang dan bersalji, namun kami bersyukur kerana perjalanan menuju ke puncak berjalan dengan lancar. Meskipun mengalami beberapa cabaran,” ucapnya.

    Antaranya pada hari keempat semasa pendakian, mereka mengalami penurunan stamina sehingga menjadikan perjalanan mereka agak perlahan kerana ada di antara mereka yang mengalami masalah penafasan.

    Dalam pada itu, Dayang Norlisa turut mengalami kecederaan luka-luka di kedua kaki beliau semasa hari kelima untuk meneruskan perjalanan turun dari puncak gunung, namun beliau tetap kuatkan semangat walaupun merasai kesakitan yang teramat sangat pada ketika itu.

    Jangan pernah menyerah

    Kejayaan Dayang Norlisa melalui percubaannya kali pertama untuk mendaki gunung berkenaan, sememangnya semakin meningkatkan rasa cinta beliau dengan aktiviti mendaki sehingga beliau mempunyai cita-cita seterusnya untuk mendaki gunung yang lain pada masa akan datang seperti Gunung Rinjani di Indonesia dan juga gunung tertinggi di dunia iaitu Gunung Everest di Nepal.

    “Mendaki gunung atau bukit merupakan satu aktiviti ekstrem yang sememangnya memerlukan ketahanan fizikal dan mental yang kuat. Di samping ia dapat memberi kepuasan pada diri saya. Saya yakin suatu hari nanti ia juga dapat mengharumkan nama negara yang tercinta ini. Ini kerana tidak ramai masyarakat Brunei yang melakukan aktiviti pendakian di pergunungan Annapurna ini.

    “Oleh itu, kepada golongan belia yang memiliki minat dalam melakukan aktiviti-aktiviti seperti ini, maka tunaikanlah impian itu selagi masih diberikan tenaga. Janganlah pernah takut dan menyerah. Tidak kira besar atau kecilnya ukuran seseorang, itu bukanlah ukuran atas kejayaan seseorang pendaki,” itulah kata-kata semangat yang disampaikan oleh Dayang Norlisa semasa mengakhiri sesi temu bual beliau bersama wartawan Media Permata.

    Oleh yang demikian, kekentalan jiwa dan keteguhan semangat insan yang bergelar wanita ini sehingga berjaya mendaki gunung impian sememangnya mampu menjadi sumber inspirasi kepada kita semua untuk terus bangkit mencabar diri ke arah merealisasikan cita-cita, sekali gus mampu mengharumkan bumi Brunei Darussalam ini di mata dunia.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda