MOSUL, Iraq, 12 Mac – Pasukan keselamatan Iraq telah merampas kawalan ke atas lebih satu pertiga barat Mosul, kata seorang komander hari ini, selepas beberapa minggu meraih kemenangan dalam pertempuran mereka untuk mengambil kembali bandar tersebut dari kumpulan Islamic State (IS).
Pertempuran hebat telah menggegarkan Mosul dalam beberapa hari ini ketika ribuan askar dan polis Iraq yang disokong oleh Amerika Syarikat (AS) bergelut untuk menuntut kembali bandar kedua negara itu.
Desakan diperbaharui ke atas kumpulan jihad itu yang dilancarkan Ahad lepas telah menyaksikan IS dihalau dari beberapa kawasan kejiranan dan tapak-tapak penting, termasuk ibu pejabat kerajaan tempatan utama dan muzium terkenal Mosul.
Bercakap kepada AFP hari ini, Mejar Jeneral Maan al-Saadi dari Perkhidmatan Pencegah Pengganasan elit berkata ‘lebih satu pertiga’ dari barat Mosul kini sudah di bawah kawalan pasukan keselamatan.

Pasukan CTS sedang menentang IS di dalam kawasan Al-Jadida dan Al-Aghawat Mosul hari ini, kata Saadi, menambah bahawa dia menjangkakan pertempuran di sana akan diselesaikan dalam masa beberapa jam ini.
Pusat Kawalan Operasi Bersama (JOC) Iraq berkata pasukan daripada Bahagian Tindak Segera, unit pasukan khas lain dan persekutuan polis juga menyerang kawasan Bab al-Toub di pinggir Bandar Lama Mosul.
“Pertempuran itu bukan mudah…kami menentang musuh tidak sekata yang bersembunyi dalam kalangan orang awam dan menggunakan taktik jerangkap samar, letupan dan pengebom nekad serta operasi itu berlaku dengan ketepatan untuk menjaga nyawa orang-orang awam,” kata Brigedier Jeneral Yahya Rasool, jurucakap bagi JOC memberitahu AFP. – AFP