Tawaran banyak, Hun tidur dua jam

Sempat tidur dua jam selepas seharian bekerja di lokasi penggambaran, Hun Haqeem reda ‘harga’ yang perlu dibayar apabila nama kian dikenali.

Mengapa tidak, ketika ini, Hun, 22, yang popular selepas muncul dalam drama Kampung People memegang watak Jaafar atau ‘Jekfer’, menjadi rebutan pengarah.

Ketika ini, Hun sedang melunaskan penggambaran drama The Gadis. Pada waktu sama, dia sempat memenuhi permintaan membintangi drama Seindah Tujuh Warna Pelangi diterajui Nabila Razali untuk TV3.

“Saya terpaksa bahagikan jadual. Misalnya, saya tidak terbabit dengan penggambaran drama Seindah Tujuh Warna Pelangi di Batam, Indonesia, sekarang.

“Jadi, saya penuhi komitmen di lokasi drama The Gadis. Melalui drama ini, saya berpeluang bekerja dengan produksi Liyana Jasmay iaitu Mermaid Studios buat kali pertama,” katanya kepada media.

Selepas kemunculan Hun Haqeem dalam drama Kampung People, kini rezekinya semakin bertambah apabila dia menerima banyak tawaran berlakon.
– Agensi

Akui Hun, kehidupan sebagai bakat baharu yang bertatih mencipta nama cukup memenatkan.

“Kebetulan rezeki saya murah dengan TV3 selepas impak drama Kampung People. Saya perlu nikmati semuanya dengan sebaik mungkin.

“Tak pernah rasa kesal, saya anggap ini rezeki terpijak,” katanya.

Hun beruntung kerana dalam tempoh setahun, kemunculannya dalam drama Kampung People mengubah nasib dirinya sekelip mata.

“Ketika terima tawaran itu, saya tidak pernah menyangka drama berkenaan diminati ramai sampai trending.

“Lebih utama, drama lakonan saya ditonton seisi keluarga. Tidak hanya diminati golongan dewasa, peminat cilik juga kenal saya dan mengajak bergambar kalau berjumpa,” katanya.

Mengenai drama The Gadis yang akan disiarkan di slot Lestary TV3, Liyana menduduki kerusi pengarah.

“Liyana tidak berlakon. Apa yang saya amati, Liyana ada misi dan visi yang segar dalam mengarah.

“Saya lihat dia banyak melihat karya baharu seperti yang ditayangkan di Netflix sebagai inspirasi,” katanya. – Agensi