BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jan – Orang ramai dipelawa bagi menghadapkan Tawaran Bilangan Pendaftaran Satu dan Dua Angka bagi Siri Bar 1 hingga 99 dan Siri Bas 1 hingga 99.
Menurut kenyataan tawaran daripada Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Kementerian Perhubungan Negara Brunei Darussalam, tawaran diterima bermula dari 16 Januari 2017 dan ditutup pada 14 Februari 2017, jam 11 pagi.
Menurut peraturan dan syarat yang dalam kenyataan itu, tawaran hendaklah dibuat dalam Borang A1 yang boleh didapati di Ibu Pejabat JPD, Jalan Beribi, Gadong dan JPD, Cawangan Daerah Belait, semasa waktu pejabat.
Orang ramai diperingatkan untuk mengisikan butiran di dalam borang dengan maklumat yang betul dan diperakui sah. Borang yang telah lengkap diisikan hendaklah dimasukkan ke dalam sampul surat yang tertutup dengan menyertakan bersama salinan kad pengenalan, salinan lesen memandu pemohon serta resit bayaran perkhidmatan sebanyak $25 bagi setiap bilangan pendaftaran.
Sampul surat hendaklah ditandakan dengan perkataan ‘Tawaran Bilangan Pendaftaran Kenderaan’ pada bahagian atas kiri sampul surat dan dimasukkan ke dalam Peti Tawaran Bilangan Pendaftaran yang terletak di Tingkat Bawah, Ibu Pejabat JPD, Jalan Beribi, Gadong atau JPD Cawangan Daerah Belait sebelum tarikh tutup tawaran.
JPD berhak untuk tidak menerima dan membatalkan mana-mana borang yang tidak lengkap dan lewat diterima. Bayaran perkhidmatan sebanyak $25 tidak akan dikembalikan sama ada tawaran berjaya ataupun sebaliknya dan harga minima tawaran bagi satu dan dua angka hendaklah tidak kurang daripada $2,000.
Penender yang berjaya hendaklah melunaskan keseluruhan harga tawaran dan mendaftarkan bilangan pendaftaran yang ditawarkan di atas nama penender sendiri dalam tempoh enam bulan dari tarikh surat pemberitahuan kebenaran itu dikeluarkan.
Permohonan untuk melanjutkan tempoh bagi mendaftarkan bilangan pendaftaran yang ditawarkan hendaklah dihadapkan ke JPD sekurang-kurangnya empat belas hari sebelum tempoh enam bulan kebenaran awal di atas berakhir. Bayaran sebanyak 10 peratus daripada harga asal tawaran akan dikenakan.
JPD hanya akan memberikan sekali sahaja tempoh lanjutan selama tiga bulan. Walau bagaimanapun, keseluruhan harga tawaran masih perlu dilunaskan sebelum tamat tempoh enam bulan kebenaran asal berakhir, sebelum tempoh lanjutan boleh dipertimbangkan.
Jika penender yang berjaya gagal melunaskan pembayaran atau/dan mendaftarkan bilangan pendaftaran yang telah ditawarkan mengikut syarat-syarat dan tempoh yang telah ditetapkan seperti di atas, maka JPD berhak untuk menarik balik bilangan pendaftaran berkenaan dan akan ditawarkan semula kepada orang ramai. Sebarang wang pembayaran yang telah dilunaskan tidak akan dikembalikan.
Sebarang permohonan untuk menyerahkan atau menukar milik bilangan pendaftaran yang belum didaftarkan hendaklah dihadapkan ke JPD sekurang-kurangnya dua minggu sebelum tarikh mansuh.
Syarat-syarat yang telah dinyatakan di atas adalah berpandukan kepada Road Traffic (Identification Marks) Regulations, 2008.
Bagi sebarang pertanyaan dan urusan lanjut, orang ramai bolehlah berurusan terus dengan Kaunter No.15, di Ibu Pejabat JPD, Jalan Beribi, Gadong atau Kaunter No.5, di Jabatan Pengangkutan Darat Cawangan Daerah Belait atau menghubungi Pegawai Melesen Kanan, Bahagian Pendaftaran dan Perlesenan di Jabatan ini di talian 2452302 pada waktu pejabat atau e-mel kepada [email protected]
































