Tawaran tender bagi dua masjid, dua surau

LABUAN, 12 April – Sekurang-kurangnya dua masjid dan dua surau di pulau ini sedang diusahakan untuk proses penawaran tender bagi kerja menaik taraf, kata Anggota Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli.

Rozman berkata beliau difahamkan cadangan projek itu yang dilaksanakan di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) ialah Masjid An Nur di pusat bandar dan Masjid Sirajul Islam, Tanjung Aru, serta Surau Baitul Makmur, Durian Tunjong dan Surau Ikhlasiah di Kampung Belukut.

“Perkara ini dijelaskan kepada saya oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof semasa persidangan Parlimen pada 9 April lepas,” katanya kepada Bernama hari ini.

Rozman mengemukakan soalan berkaitan status projek pelaksanaan pembinaan baharu dan naik taraf masjid serta surau itu tetapi tidak dilaksanakan setakat hari ini.

Katanya projek bagi keempat-empat masjid dan surau itu itu dijangka dimulakan pada akhir Jun dan dijangka siap antara 18 hingga 24 bulan.

Menurutnya terdapat tiga lagi projek, Masjid Ar-Rahman, Sg Lada, Masjid Nur Iman, Kg Ganggarak dan Surau Nurul Islam di pusat bandar yang berada di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) masih belum dilaksanakan. –Bernama