Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OKT – Keputusan bagi Tawaran Tertutup Tanda Pengenalan Kenderaan (TPK) bagi siri BBC 6001-BBC 9999 akan diumumkan melalui laman sesawang rasmi Jabatan Pengangkutan Darat (JDP) pada 29 Oktober.
Menurut JPD, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), orang ramai boleh mengetahui keputusan bagi tawaran tertutup berkenaan dengan melayari laman sesawang JPD, http://www.jpd.gov.bn dan www.nomborku.gov.bn.
Di samping itu, semua penender yang telah mengikuti Tawaran Tertutup TPK sama ada berjaya atau sebaliknya juga akan menerima e-mel mengenai keputusan tawaran berkenaan melalui e-mel yang telah didaftarkan ke jabatan berkenaan.
Penender yang berjaya dikehendaki mematuhi terma dan syarat pendaftaran kenderaan iaitu menjelaskan keseluruhan harga tawaran dan mendaftarkan TPK atas nama penender sendiri tidak lewat satu bulan dari tarikh Surat Tawaran Berjaya dikeluarkan.
Pembayaran boleh dibuat secara dalam talian menggunakan kad pembayaran, debit atau kredit atau melalui mana-mana cawangan JPD di semua daerah.
Jika penender gagal melunaskan pembayaran dalam tempoh satu bulan dari tarikh Surat Tawaran Berjaya dikeluarkan, tawaran TPK penender adalah dibatalkan.
Permohonan untuk melanjutkan tempoh kebenaran mendaftar TPK boleh dilakukan setelah bayaran penuh dijelaskan dan dihadapkan dalam tempoh satu bulan dari tarikh Surat Tawaran Berjaya dikeluarkan.
Jumlah bayaran bagi melanjutkan tempoh mendaftar iaitu holding fee TPK adalah sebanyak $60 bagi tempoh tiga tahun.
Bagi sebarang pertanyaan lebih lanjut, orang ramai boleh menghubungi JPD semasa waktu pejabat melalui WhatsApp 7181641; e-mel info_ltd@jpd.gov.bn, laman sesawang www.jpd.gov.bn dan Instagram @jpd.bn.