Tawaran untuk selamatkan syarikat penerbangan muflis

PARIS, 10 SEPT – Syarikat penerbangan Perancis Aigle Azur telah menerima 14 bidaan pengambilalihan tatkala ia berusaha untuk menangkis satu kemuflisan yang akan membawa kepada pengangguran 1,150 pekerjanya, namun ia berkata kesemuanya perlu dipertingkatkan kerana mereka ‘tidak sesuai’ untuk masa sekarang.

“Pengambilalihan berkenaan menawarkan syarikat segala yang perlu diperhalus dan ia tidak sesuai dalam bentuk mereka sekarang,” kata syarikat lewat hari ini.

Kira-kira 13,000 penumpang, kebanyakannya menempah penerbangan di laluan Algeria, masih terkandas selepas Aigle Azur memfail kemuflisan pada minggu lalu dan membatalkan kesemua penerbangan pada malam Jumaat.

Beberapa mesyuarat majlis kerja baharu telah ditetapkan pada Jumaat, sebelum perbicaraan mahkamah pada Isnin, untuk menilai tawaran baharu pada akhir minggu ini.

Air France, syarikat penerbangan negara, telah mengemukakan satu tawaran, walaupun ia enggan mengulas lanjut mengenai sama ada ia untuk seluruh syarikat atau hanya untuk aset tertentu.

EasyJet mengesahkan ia telah mengemukakan satu tawaran, begitu juga dengan operator tambang murah Vueling, kata sumber kesatuan.

Aigle Azur mengendali 11 kapal terbang tetapi kesatuan berkata pembida berpotensi mungkin berminat dalam slot pendaratannya di Paris Orly, lapangan terbang kedua terbesar di bandar, selepas Charles de Gaulle. – AFP

Pekerja syarikat Aigle Azur menunjuk perasaan di depan pejabat penerbangan mereka di Paray-Viele-Poste, selatan Perancis, pada 9 September 2019. – AFP