Tawau bakal adakan latihan bencana alam

TAWAU, 7 Nov – Satu latih amal bencana gempa bumi dan tsunami akan diadakan di sini pada Rabu depan bagi meningkatkan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi berkaitan selain memberi pendedahan kepada orang ramai ketika berdepan situasi sedemikian.

Penyelia Jabatan Meteorologi Tawau, Jasni Ahmad berkata latih amal itu akan melibatkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Jabatan Meteorologi Malaysia dan beberapa agensi pengurusan bencana daerah Tawau.

“Pada hari berkenaan, bermula 7:15 pagi, siren amaran tsunami di kawasan Masjid Al-Kau-thar dan Masjid Al-Mukarramah, Tanjung Batu (akan berbunyi).

“Kita berharap penduduk memberi respons walaupun ia merupakan satu latih amal,” katanya kepada Bernama selepas melakukan pemeriksaan ke atas alat amaran tsunami di kawasan Masjid Al-Kauthar hari ini.

Dalam notis (pemberitahuan) yang dikeluarkan Nadma dan tular di media sosial baru-baru ini, penduduk, pengunjung, pelancong, pengusaha hotel dan chalet serta peniaga diminta agar tidak cemas apabila terdengar bunyi siren.

Notis berkenaan juga meminta orang ramai agar memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.- Bernama