Tawau kesan penumpang 2 penerbangan AirAsia

TAWAU, 13 MEI – Kesemua 402 penumpang penerbangan AirAsia AK5742 dan AK5740 yang tiba di Lapangan Terbang Tawau pada 1 dan 4 Mei lalu diminta hadir ke klinik kesihatan terdekat bagi menjalani ujian saringan kedua COVID-19 susulan kes positif yang dikesan dalam kedua-dua penerbangan terbabit.

Pegawai Kesihatan Kawasan II Tawau Dr Suzalina Sulaiman berkata setakat 8 pagi tadi seramai 39 individu termasuk lapan pelajar tampil menjalani ujian berkenaan di klinik kesihatan di Kubota di sini.

Individu yang dikesan positif dalam kedua-dua penerbangan berkenaan tidak bersimptom, katanya ketika ditemui di pejabat kesihatan di sini hari ini.

Sementara itu, Dr Suzalina berkata pihaknya berjaya mengesan tiga pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang pulang ke daerah ini ingkar perintah kuarantin di rumah.

“Kita ada terima aduan orang awam dan kita buat intipan serta ambil gambar sebagai bukti.

“Ketiga-tiga pelajar ini akan dibawa ke mahkamah untuk didakwa,” katanya.

Menurut Dr Suzalina tiga pelajar berkenaan adalah antara 402 penumpang penerbangan AirAsia ter-babit yang tiba di Sabah dari Kuala Lumpur. – Bernama