Tayangan kisah Lumut Lunting, legenda Brunei

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JUNDrama Puisi Lumut Lunting: Cerita Rakyat Budaya Legenda Negara Brunei Darussalam telah mendapat tepukan gemuruh daripada tetamu di Dewan Di Gadong Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), malam tadi.

Dipengerusikan bersama oleh Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Negara Brunei Darussalam dan Persatuan Membaca dan Literasi Brunei (ReLA) dengan kerjasama KKBS, acara tersebut menyaksikan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin hadir selaku tetamu kehormat.

Turut hadir ialah Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Nahida Rahman Shumona dan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara serta pegawai-pegawai kanan di KKBS.

Presiden ReLA, Dr Malai Zeiti binti Sheikh Abdul Hamid dalam ucapan alu-aluannya menekankan bahawa puisi itu adalah yang pertama seumpamanya, yang mempamerkan bakat tempatan Brunei dan diarah oleh para belia tempatan Brunei, dengan sebuah produksi yang akan menarik penonton kerana ia menceritakan kisah dongeng tempatan yang menjadi legenda, Lumut Lunting.

Diarahkan oleh Awang Mohd Syafiq Syazmeruddin Muqhriz Shah bin Mohd Ishak, kisah legenda Lumut Lunting dikaitkan dengan cerita rakyat lama Brunei bertarikh 500 tahun lalu yang didokumentasikan dalam Syair Awang Semaun yang berkisar pada zaman awal sultan Brunei, Awang Alak Betatar, sultan pertama sekitar abad ke-14, ketika Negara Brunei Darussalam masih merupakan sebuah negara bawah jajahan Empayar Majapahit. Menurut legenda Brunei, Lumut Lunting adalah kisah epik orang-orang Brunei yang menang dan membebaskan diri daripada cengkaman kerajaan Majapahit.

Drama puisi yang dipamerkan dalam produksi menggambarkan kekuatan dan ketangkasan orang-orang Brunei dan bagaimana mereka membebaskan diri daripada ditakluki oleh kerajaan Majapahit pada masa lalu. Budaya dan tradisi Brunei, kostum tempatan dan tarian-tarian tempatan Brunei serta silat dipamerkan dalam drama tersebut melalui pementasan drama puisi pendek yang dibacakan oleh Dayang Hanny Bahriyah binti Haji Awang Yussof.

Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan semasa hadir menyaksikan Drama Puisi Lumut Lunting: Cerita Rakyat Budaya Legenda Negara Brunei Darussalam, kelmarin.
Dr Malai Zeiti semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis tersebut.
Antara peserta yang terlibat dalam melakonkan semula perjalanan kisah dongeng tempatan berjudul Drama Puisi Lumut Lunting: Cerita Rakyat Budaya Legenda Negara Brunei Darussalam anjuran bersama Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Negara Brunei Darussalam dan Persatuan Membaca dan Literasi Brunei yang dipentaskan di Dewan Di Gadong Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. – Gambar oleh Syahmi Hassan
Antara persembahan Drama Puisi Lumut Lunting yang diadakan di pentas Dewan Di Gadong, KKBS.