Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 APRIL – Tiga filem pendek hasil karya mahasiswa dan mahasiswi jurusan Design and Creative Industries (DCI), Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FASS), Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah mewakili universiti itu bagi mengikuti tayangan dalam talian Asia Rising 2022 yang bermula 1 April lalu hingga 9 April.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan UBD, Asia Rising 2022 merupakan anjuran Pusat Seni, Universiti Nasional Singapura (NUS), dengan kerjasama Rangkaian Universiti ASEAN di bawah Kebudayaan dan Kesenian (AUN-CA), di mana pada tahun ini ia membawa tema baharu iaitu Slow Connection.
Sebanyak 14 filem pendek oleh pelajar dari lima universiti di Negara Brunei Darussalam, Filipina dan Singapura ditampilkan dalam tayangan berkenaan dengan UBD mengetengahkan filem Not Toaster, Crescendo dan Sonder.
Kenyataan menjelaskan, Sonder menjadi filem pendek animasi pertama yang dihasilkan oleh pelajar DCI yang ditayangkan dalam festival filem serantau.
Manakala itu, Not Toaster telah memenangi Anugerah Filem Pendek Terbaik (kategori 10-20 minit), baru-baru ini, dan Crescendo pula pernah memenangi Anugerah Pengarah Terbaik yang diterima oleh Halim Ashari, dalam Festival Filem Pendek UBD Prisma ke-4 pada Disember tahun lalu.
Oleh itu, orang ramai yang berminat boleh membuat pendaftaran dengan Asia Rising 2022, kemudian penganjur NUS akan menghantar pautan senarai playlist ke alamat e-mel berdaftar, jadi penonton berdaftar boleh menonton 14 filem pendek pelajar termasuk tiga karya UBD dan semua video pencipta secara percuma.
Ini adalah tahun kedua berturut-turut tiga filem pendek dari UBD telah dipilih ke ta-yangan filem pelajar tahunan berkenaan.