Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MAC – Sempena bulan Ramadan ini, Restoran Rizqun Coffee House dengan kerjasama Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) mengadakan sesi berbuka puasa dengan program keagamaan di restoran itu.
Acara dimulakan dengan persembahan Nasyid oleh kumpulan Ahlul Rahimin yang terdiri daripada mahasiswa di KUPU SB dan tazkirah bertajuk ‘Fadilat Ramadan dalam Sunah’ pula disampaikan oleh Awang Abdul Hadi @ Abdul Hafiz bin Abdul Wahab, mahasiswa Tahun 3 Diploma Tertinggi Perguruan Ugama Pendidikan Islam.
Selain itu, pelanggan yang berbuka di restoran itu akan berpeluang memenangi hadiah utama cabutan bertuah berupa tiket penerbangan untuk menunaikan ibadah umrah di samping hadiah lain seperti baucar penginapan dan banyak lagi.
Pada majlis itu, pemenang cabutan bertuah Promosi Sungkai Ramadan Restoran Rizqun Coffee House, Dayang Ruby membawa pulang hadiah cabutan mingguan berupa baucar penginapan selama dua hari, satu malam di Bilik Mewah Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong.
Manakala, pemenang di tempat kedua dan ketiga iaitu Awang Shahadan dan Maisalamah binti Abdul Rahman masing-masing membawa pulang baucar makan malam bufet dan baucar makan tengah hari untuk dua orang. Cabutan telah dibuat oleh para pelanggan yang berbuka puasa di restoran tersebut. Cabutan bertuah akan diteruskan lagi sehingga akhir bulan Ramadan, di mana cabutan akhir akan dilakukan oleh pihak pengurusan Hotel Antarabangsa Rizqun.