Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OKT – Ahli jawatankuasa takmir dan Majlis Perundingan Kampung Sungai Besar telah menganjurkan acara Solat Jemaah Subuh Macam Jumaat di Masjid Kampung Sungai Besar, baru-baru ini.
Hadir pada majlis itu ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Acara tersebut turut diisikan dengan tazkirah Subuh disampaikan oleh penceramah terkenal dari Indonesia, Profesor Dr Haji Abdul Somad yang membincangkan tajuk tazkirah berkaitan Institusi Kekeluargaan: Tanggungjawab Suami, Isteri dan Anak-anak bagi Melahirkan Keluarga Sakinah Mawaddah.
Dalam tazkirahnya, beliau antara lain menjelaskan antara kewajipan suami iaitu memberi makan termasuk nafkah kepada isteri juga tanggungan suami sebagai ketua keluarga.
Di samping itu, ia juga termasuk tempat tinggal, pakaian terutamanya lengkap menutup aurat yang disyariatkan dalam Islam sesuai dengan kemampuan serta memberikan pendidikan yang berguna umpamanya menjadi imam dalam sembahyang dan mengajar mengaji Al-Quran.
Selain kewajipan suami, beliau turut menjelaskan, beberapa perkara mengenai sifat isteri antaranya menyenangkan hati suami, patuh dan taat, tidak khianat menjaga amanah dan selalu ingat-mengingati akan kebaikan.
Solat Subuh berjemaah diimamkan oleh imam masjid berkenaan, Haji Hanafiah bin Haji Mahmud.Turut hadir, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim serta para jemaah masjid yang lain.
Semasa majlis itu juga, Ketua Kampung Sungai Besar, Serdang dan Sungai Belukut, Leftenan Kolonel (B) Haji Zaini bin Haji Damit dan Haji Hanafiah selaku pengerusi majlis bersama turut menyampaikan cenderahati kepada Profesor Dr Haji Abdul Somad.