YANGON, 15 Feb – Satu perlima daripada pesakit tuberculosis (TB) dan separuh daripada kes penyakit TB yang kebal dengan beberapa ubat (MDR-TB) di Myanmar telah dikesan di Wilayah Yangon, lapor Myanmar Times memetik kenyataan Program Tuberkulosis Kebangsaan Kementerian Kesihatan dan Sukan.
Pada 2017, program itu telah merawat sejumlah 140,000 pesakit TB dan 2,700 pesakit MDR-TB.
Daripada jumlah ini, lebih 32,000 pesakit TB dan 1,300 pesakit MDR-TB dirawat di Wilayah Yangon. Penyakit MDR-TB berlaku apabila bakteria yang menyebabkan TB membina ketahanan terhadap ubat antimikrob yang digunakan untuk menyembuhkan penyakit itu.
Pakar kesihatan berkata kedua-dua penyakit kekal sebagai satu ancaman kesihatan umum yang serius di Myanmar dan menyeru agar kempen kesedaran awam dipertingkat untuk memeranginya.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata Myanmar adalah antara 30 negara yang mempunyai kes tertinggi.
WHO berkata pada 2017, dianggarkan terdapat 361 kes TB baharu bagi setiap 100,000 orang dan 25 kes MDR-TB baharu bagi setiap 100,000 orang di Myanmar.
Ia berkata sejumlah 47 orang mati disebabkan penyakit itu pada tahun lepas. – Bernama