TBA perkenal Takaful Keselamatan Siber

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MAC – Dalam persediaan menghadapi Revolusi Industri 4.0, Takaful Brunei Am Sdn Bhd (TBA) menjangkakan transformasi digital dalam perlumbaan Brunei Darussalam ke arah daya saing global dan pembangunan infrastruktur digital.

Daripada penyediaan satu platform digital untuk keperluan pelanggan mereka kepada keperluan syarikat dan pertubuhan yang berusaha mengoptimumkan fungsi utama analitis data dan e-dagang. Sehubungan itu, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, TBA baru-baru ini telah memperkenalkan satu skim perlindungan Takaful untuk mengatasi risiko ancaman siber yang meningkat di Brunei Darussalam. Skim perlindungan Takaful Keselamatan Siber TBA membantu entiti perniagaan besar, syarikat swasta besar, syarikat berhubung kerajaan dan perusahaan saiz kecil dan sederhana dalam mengendali risiko yang timbul daripada pencabulan infrastruktur maklumat penting. Syarikat dan pertubuhan sedemikian terdedah kepada risiko liabiliti harian sekiranya berlaku kerosakan berpunca daripada serangan penggodam atau serangan siber atau kecurian data pihak ketiga.

Takaful Keselamatan Siber membantu mengendali liabiliti berkenaan dan mengurangkan kerugian kewangan yang berlaku disebabkan ancaman siber, termasuk kos yang berkaitan dengan pemulihan. Skim perlindungan baharu itu patuh syariah sepenuhnya dan merangkumi Liabiliti Peribadi, Liabiliti Keselamatan Rangkaian, Liabiliti Media, Peras Ugut Siber, Kehilangan Aset Data dan Gangguan Perniagaan.

Skim perlindungan ini memainkan peranan penting dalam perancangan pengurusan krisis yang efektif untuk mana-mana syarikat dan pertubuhan yang mencipta, menyimpan atau mengendali data elektronik, seperti butir-butir pelanggan, jualan pelanggan dan butir-butir kad kredit. Perniagaan yang menyimpan maklumat pelanggan dalam mana-mana platform digital boleh menerima faedah daripada perlindungan liabiliti yang ditawarkan oleh Keselamatan Siber TBA yang juga termasuk perlindungan dan perlindungan untuk Gangguan Perniagaan, memandangkan kerosakan berkaitan dengan kejadian siber boleh mengakibatkan kerugian dalam jualan dan pelanggan.

Menurut kenyataan yang diberikan, pada September 2018, Pasukan Tindak Balas Komputer Brunei (BruCERT) mencatat lebih 200 serangan ke atas keselamatan siber di Brunei Darussalam pada 2017, di mana 38 peratus adalah berpunca daripada perisian berniat jahat.

Kehilangan atau kecurian data elektronik boleh memberikan kesan teruk ke atas perniagaan dan pertubuhan, termasuk kehilangan pelanggan dan pendapatan. Tambah kenyataan lagi, adalah lebih murah untuk menghalang pencabulan data dengan melindungi data berbanding kehilangan data akibat pencabulan. Takaful Keselamatan Siber TBA boleh memberikan peruntukan sumber yang membantu menyimpan data dengan selamat.