Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 20 Ogos – Tutong Brunei Bike Festival (TBBF) yang dianjurkan oleh Kelab KEKAL Daerah Tutong selama tiga hari, hingga hari ini, telah mendapat pujian daripada ahli-ahli Star Touring & Riding, Filipina yang ikut serta memeriahkan lagi festival berkenaan.
Reynado Cadavero dari Mindanao buat pertama kali berkunjung ke Brunei kerana ingin ikut serta memeriahkan lagi TBBF dan berjumpa kawan-kawannya di Brunei. Menurut Reynado, beliau bersama empat orang temannya dari Cebu tidak mahu lepaskan peluang untuk pergi ke TBBF.
Beliau mengetahui Brunei akan mengadakan festival berkenaan daripada salah seorang rakannya yang merupakan salah seorang ahli PEMODA yang aktif menerusi Kelab Harley (HOG) Davidson Antarabangsa dan ahli Persatuan HOG Filipina, Haji Abu Bakar bin Haji Mohd Arshad.
Jelasnya lagi, kehadiran mereka ke festival itu adalah untuk bersua muka bersama peminat-peminat motorsikal di negara ini dan seterusnya berpeluang untuk berkongsi pengalaman dan bertukar pandangan mengenai motorsikal yang ada di negara ini.
Selain mengikuti festival berkenaan, beliau bersama abangnya, Alan Cadavero yang tiba di negara ini pada 17 Ogos lalu juga berpeluang melawat ke tempat-tempat menarik seperti Kampong Ayer, Bangunan Alat-alat Kebesaran Diraja dan Masjid Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah.
Dalam kesempatan itu, mereka menyampaikan penghargaan terima kasih kepada Haji Abu Bakar yang membawa mereka ke negara ini dan ahli-ahli peminat motosikal di negara ini kerana mengalu-alukan kehadiran mereka.
Setentunya festival tersebut membawa pengalaman yang berharga kepada mereka dan berharap akan datang lagi ke negara ini pada bila-bila masa.