Saturday, April 20, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    TBC disambut sederhana, patuh SOP

    KUALA LUMPUR, 1 FEB – Sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) di seluruh Malaysia diraikan secara sederhana dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha membendung penularan COVID-19. 

    Setelah sambutan tahun lepas tidak begitu dirasai kerana situasi COVID-19 ketika itu sangat membimbangkan, ternyata rata-rata masyarakat Cina menggunakan kesempatan pada tahun ini untuk memeriahkan suasana perayaan kali ini. 

    Di Sabah, sambutan TBC berlangsung secara sederhana mengikut pematuhan SOP yang digariskan oleh kerajaan dengan persembahan tarian Singa dan Naga memeriahkan suasana setelah mendapat kebenaran untuk kembali beraksi.

    Upacara sembahyang untuk penganut Buddha turut diadakan dengan kapasiti 50 peratus di tokong-tokong di negeri itu seperti Tokong Kuan Loon Tien, manakala aktiviti kunjung-mengunjung antara sanak saudara dilihat kembali memeriahkan sambutan kali ini.

    Di Selangor, kedatangan TBC disambut dalam keadaan sederhana ekoran cuaca yang tidak menentu, terutamanya bencana banjir yang melanda negeri itu baru-baru ini.

    Ahli Persatuan Tarian Singa dan Naga Kin Cho Hong membuat persembahan tarian singa di Tokong Toh Guan Tien Kuantan sempena sambutan Tahun Baharu Cina semalam. – Bernama

    Tinjauan di Tokong Kwan Imm, Jalan Bandar Raya, Klang mendapati orang ramai mula mengunjungi rumah ibadat itu sekitar 7 pagi dan kehadiran anggota Rela yang bertugas memastikan upacara keagamaan berjalan lancar dan terkawal.

    Di Negeri Sembilan, tinjauan Bernama di Tokong San Kau Tong, Seremban mendapati sambutan diraikan secara sederhana dengan kehadiran penganut Buddha sejak awal pagi yang mematuhi SOP termasuk memakai pelitup muka serta mengamalkan penjarakan fizikal.

    Pengerusi Pertubuhan Penganut Dewa San Kau Tong, Mah Kin Hock berkata hanya seramai 250 pengunjung dihadkan berada di kuil pada satu-satu masa, bermula 8 pagi hingga 12.30 tengah hari ini dan kuil turut dipantau anggota Rela dan Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional Negeri Sembilan.

    Sementara itu, pekerja kilang besi warga China, Chen Ling Bin, 54, yang sudah tiga tahun tidak dapat pulang beraya ke kampung halaman di Xinjiang, China susulan COVID-19 menyifatkan sambutan TBC kali ini sangat bermakna buat dirinya meskipun berjauhan dengan keluarga. 

    Di Sarawak, Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) mengadakan sambutan TBC secara maya yang disiarkan siaran langsung menerusi aplikasi Facebook parti itu dengan dihadiri barisan menteri Kabinet yang diketuai Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta pimpinan tertinggi parti itu.

    Semua hadirin yang menyertai sesi siaran langsung itu turut berkesempatan menyertai upacara menggaul ‘Yee Sang’ bersama-sama yang merupakan tradisi masyarakat Cina menyambut tahun baharu. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...