Oleh Rafidah Jumat
Gambar Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Feb – Tahun Baharu Cina (TBC) sama-sama diraikan hari ini di negara ini dengan majlis rumah terbuka untuk kunjungan sahabat-handai dan sanak-saudara demi mengeratkan lagi hubungan persahabatan dan kekeluargaan.
Pemilik Gedung Perniagaan Sim Kim Huat (SKH), C.K. Lee turut mengadakan rumah terbuka di salah sebuah restoran miliknya, Borneo Kopitam di Jalan Sungai Hanching bagi memudahkan rakan niaga, sahabat handai, pelanggan dan juga kakitangan SKH menikmati pelbagai hidangan dalam suasana kekeluargaan.
Manakala Pengarah Urusan AIFA Sdn Bhd, Dr Andy Lau turut tidak ketinggalan mengadakan majlis serupa di kediamannya di Kampung Sungai Tilong.
Wartawan Media Permata yang berkunjung ke rumah-rumah terbuka hari ini mendapati kebanyakan rumah masyarakat Tionghua dihiasi dengan buah limau yang diletakkan di atas meja sebagai simbol murah rezeki dan pemberiannya kepada tetamu pula simbolik memberi tuah.