Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 FEB – Suasana meriah dapat dirasakan pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Persatuan Hokkien Brunei Darussalam di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini.
Majlis yang diselajurkan dengan majlis penyerahan biasiswa ke-21 kepada anak-anak persatuan berkenaan telah dihadiri oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong selaku tetamu kehormat.
Terdahulu, majlis telah dimulakan dengan ucapan Ketua Pendidikan dan Kebudayaan, Datin Ti Li Chew, dan juga Naib Pengerusi, Peng Yan Hoe selaku pengerusi jawatankuasa kerja serta ucapan alu-aluan daripada Pengerusi Persatuan Hokkien, Lim Han Chiong.
Lim Han Chiong dalam ucapannya melahirkan rasa syukur dan menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, yang mana di bawah kepimpinan bijaksana Baginda, rakyat dan penduduk negara ini terus menikmati kemakmuran dan kebahagiaan hidup yang sangat tinggi nilainya.
“Marilah kita bersama-sama sebagai rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam mendukung titah Baginda Sultan untuk mengamalkan dan mengukuhkan lagi konsep Melayu Islam Beraja, demi mewujudkan kehidupan yang aman dan makmur di bumi Brunei Darussalam ini,” ujarnya.



Dengan rasa syukur, beliau menambah, secara tidak langsung akan mengukuhkan pengamalan dan penghayatan masyarakat Brunei khususnya masyarakat Tionghua terhadap nilai-nilai Melayu Islam Beraja yang menjadi cara hidup masyarakat Brunei.
Majlis kemudiannya dimeriahkan dengan persembahan pentas yang penuh dengan warna-warni, diikuti dengan penyampaian hadiah penghargaan oleh tetamu kehormat kepada pelajar-pelajar cemerlang yang terdiri daripada anak-anak ahli persatuan yang telah mencatat kejayaan dalam berbagai-bagai kategori dan bidang pelajaran.
Seramai 227 orang telah menerima hadiah dalam bentuk sijil penghargaan dan wang tunai.
Selain daripada menikmati hidangan istimewa yang disajikan dan dihiburkan dengan persembahan pentas, beberapa tetamu bertuah turut membawa pulang hadiah dalam cabutan bertuah.
Sambutan tersebut bertujuan sebagai tanda penghargaan Persatuan Hokkien atas sokongan penasihat dan ahli persatuan itu selama bertahun-tahun dan pertumbuhan berterusan ahlinya, yang mana sambutan itu menyaksikan sekitar 1,800 tetamu.




























