TBK sampaikan zakat pelanggan

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MEI – Takaful Brunei Keluarga (TBK) telah menyerahkan himpunan zakat daripada produk perlindungan dan simpanan peserta TBK bagi tempoh September 2019 hingga 30 April 2020 kepada Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

Zakat TBK berkenaan telah diserahkan oleh Pegawai Eksekutif Kanan Divisyen Syariah Takaful Brunei, Dayangku Hajah Siti Ruzanna binti Pengiran Haji Rusjdi dan Pegawai Eksekutif, Hajah Nur Fadilah binti Haji Duah kepada Pemangku Setiausaha MUIB, Haji Abdul Aziz bin Haji Akop dengan disaksikan oleh Pembantu Setiausaha MUIB, Haji Hamzah bin Haji Sabtu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, TBK telah menawarkan perkhidmatan zakat selaku amil yang dilantik oleh MUIB sejak September 2019 dan pembayaran zakat menerusi TBK terbuka kepada semua peserta Muslim, yang sanggup membayar menerusi TBK serta produk perlindungan dan simpanan mereka telah cukup haul dan nisab.

Produk-produk perlindu-ngan dan simpanan TBK termasuk Takaful Nur Savings, Takaful Education, Takaful Retirement, Takaful Walimatul Urus, Takaful Dream House, Takaful Savings, Takaful Haj & Umrah dan Takaful Tarbiyah.

Kenyataan menjelaskan, antara objektif kolaborasi TBK dengan MUIB bagi pembayaran salah satu zakat itu adalah untuk memudahkan pelanggan Muslim membuat potongan zakat menerusi produk-produk perlindungan dan simpanan mereka.

Di samping itu, ia juga bertujuan untuk menggalakkan dan memberi kesedaran kepada peserta mengenai tanggungjawab membayar zakat.

Haji Abdul Aziz menerima zakat pelanggan TBK. – Gambar serahan TBK