KUALA TERENGGANU, 4 OGOS – Penyerang import Terengganu FC (TFC), Kipre Tchetche berazam untuk membawa Skuad Penyu mara ke perlawanan akhir Piala FA musim ini.
Ia bagi menebus kekecewaan beliau yang gagal membantu skuad Penyu mara ke peringkat separuh akhir selepas tewas 1-4 kepada pasukan Pahang dalam saingan Piala FA musim 2019.
Tchetche berharap agar dapat diturunkan untuk beraksi pada perlawanan separuh akhir Piala FA menentang skuad The Red Giants di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) Sabtu ini.
“Saya masih ingat masa kami kalah kepada Pahang dalam suku akhir Piala FA. Kekecewaan dan kehampaan itu amat menyakitkan.
Bagaimanapun, kali ini kami sudah menghampiri ke final. Jadi kami akan memberikan yang terbaik semampu boleh terutamanya buat peminat-peminat,” kata pemain penyerang TFC itu ketika dihubungi Bernama.
Tchetche berkata, walaupun menyedari tugas itu bukan mudah kerana bakal berdepan dengan pasukan gergasi bola sepak negara, ia juga bukan misi mustahil buat Skuad Penyu. – Bernama
