Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MAC- Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, telah memberi respon kepada soalan yang diketengahkan oleh Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann mengenai dengan peranan dan inisiatif Jabatan Perancang Bandar dan Desa (TCP) dalam pemberigaan perancangan bandar.
Menurut Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda, TCP berperanan sebagai autoriti perancang yang bertanggungjawab terhadap perancangan guna tanah dan kawalan pembangunan di negara ini.
Di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa (Penggal 248), jabatan berkenaan dipertanggungjawabkan untuk menyediakan pelan-pelan perancangan guna tanah di peringkat negara, daerah dan setempat dalam menentukan hala tuju penggunaan tanah dan pembangunan di negara ini dengan lebih teratur.
Setiap kawasan dimajukan mengikut zon guna tanah yang ditetapkan seperti perumahan, komersial, perindustrian, dan pertanian demi pembangunan yang lebih sistematik dan berdaya tahan. Dengan perancangan ini, TCP dapat mengimbangkan tuntutan pembangunan dengan sumber tanah yang ada di negara ini agar penggunaan tanah yang optimum dapat dicapai.
Selaras dengan peranan ini, TCP telah melaksanakan beberapa inisiatif untuk meningkatkan pemberigaan kepada orang awam serta pihak berkepentingan mengenai perancangan dan projek pembangunan bandar dan desa.
Antara usaha-usaha yang dilaksanakan ialah sesi dialog bersama pihak berkepentingan secara berkala, perbincangan kumpulan fokus dan sesi terbuka dengan agensi kerajaan, swasta dan orang awam termasuk para belia bagi melibatkan mereka dalam proses perancangan.
Sebagai contoh, satu perbincangan kumpulan fokus bertajuk Komiti Penyediaan Pelan Pembangunan bagi Pelan Pekan Seria telah diadakan pada 6 Februari yang lalu selain perbincangan bersama Jabatan Daerah Belait dan Bandaran Belait-Seria bagi perancangan Daerah Belait pada 14 Oktober.
Di samping itu, TCP turut mengadakan beberapa sesi terbuka awam bersama para belia di Daerah Belait dan Daerah Tutong untuk memberikan pengetahuan kepada belia tentang fungsi TCP dalam pembangunan mampan dan mendapatkan pandangan mereka mengenai isu pembangunan setempat.
Usaha lain adalah dengan pameran dan publisiti mengenai rancangan pembangunan mendekatkan perancangan bandar kepada masyarakat.
Sebagai contoh, bersempena dengan Hari Perancangan Bandar Sedunia, TCP telah menganjurkan pameran interaktif selama tiga hari di Times Square, Berakas yang bertujuan memberigakan peranan perancangan guna tanah dan kawalan pembangunan kepada orang ramai.
Selain itu, pameran tentang perancangan guna tanah di Daerah Tutong juga pernah diadakan semasa sesi terbuka awam belia di Tutong .
Usaha berikutnya adalah melalui penggunaan media dan platform digital untuk menyebarkan maklumat perancangan. Sebagai contoh, sempena 50 tahun penubuhan TCP, jabatan ini telah menyiarkan dokumentari khas di Radio Televisyen Brunei (RTB) serta rancangan TV seperti Rampai Pagi dan Liputan Semasa untuk mengetengahkan peranan perancangan bandar kepada orang ramai. Maklumat terkini turut dikongsi melalui laman sesawang rasmi dan media sosial seperti Instagram mengenai dasar perancangan guna tanah, draf pelan tempatan, serta projek-projek pembangunan bandar yang dirancang.
Langkah pemberigaan yang berterusan ini bukan sahaja meningkatkan pengetahuan dan kesedaran orang ramai terhadap perancangan bandar, malah menggalakkan sokongan dan kerjasama mereka dalam merealisasikan visi pembangunan negara yang mampan.
