TDDB hadiri mesyuarat ACAMM ke-22

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 NOV – Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), Brigedier Jeneral Dato Seri Pahlawan Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan telah menghadiri Mesyuarat Multilateral Ketua Tentera ASEAN (ACAMM ke-22) yang telah dipengerusikan oleh Republik Kesatuan Myanmar secara dalam talian.

Dalam satu kenyataan yang diterima, di sini, hari ini, mesyuarat dengan tema ‘Peranan Tentera ASEAN dalam Proses Pemulihan Selepas Pandemik COVID-19’ itu telah dibuka secara rasmi oleh Timbalan Ketua Komander Pertahanan, Ketua Komander (Tentera), Republik Kesatuan Myanmar, Naib Jeneral Kanan Soe Win.

Dalam ucapan beliau, Pemerintah TDDB telah mengongsikan tentang situasi terkini jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam dan menekankan komitmen TDDB yang kuat dalam membantu negara serta terus memainkan peranan penting untuk saling melengkapi bagi memerangi pandemik COVID-19.

Memandangkan wabak tersebut akan kekal sebagai kebimbangan utama serantau, beliau menekankan bahawa TDDB akan terus memaksimumkan kapasitinya untuk menyumbang kepada tanggungjawab strategik negara dan serantau di samping menggunakan apa yang telah diperoleh secara kolektif daripada ACAMM serta landasan-landasan pelbagai hala yang lain.

Mesyuarat tersebut diteruskan dengan pembentangan daripada semua negara yang terlibat, di mana Ketua Tentera dari semua negara menyebut tentang peranan tentera masing-masing dalam menyokong kerajaan dari segi logistik dan tenaga manusia dalam membendung penularan COVID-19.

Mesyuarat tersebut diakhiri dengan upacara penyerahan pengerusi mesyuarat dan ucapan daripada Timbalan Ketua Staf, Tentera Rakyat Viet Nam selaku pengerusi ACAMM ke-23.

Republik Sosialis Viet Nam akan menjadi tuan rumah bagi ASEAN Armies Rifle Meet (AARM), Mesyuarat Tahunan Sarjan Mejar ASEAN (ASMAM) dan Bengkel Berkongsi Informasi Tentera ASEAN (AAISW) pada tahun 2022.

Brigedier Jeneral Dato Seri Pahlawan Haji Muhammad Haszaimi semasa menghadiri Mesyuarat ACAMM ke-22 yang diadakan secara dalam talian. – Gambar serahan Kementerian Pertahanan