Teater Rom masih utuh di Selatan Syria

BOSRA – Sambil memegang telefon bimbit di tangan, seorang pelajar, Abdelaziz Al-Aswad bergerak dengan penuh berhati-hati tatkala melangkah di sebuah teater Rom yang tersenarai di UNESCO di selatan Syria. Pelajar itu menyuarakan rasa gembira melihat tapak warisan itu masih mampu bertahan selama tujuh tahun peperangan saudara yang berlaku di negara itu.

Teater yang dibina pada abad kedua itu dibina di kota Bosra kuno, di mana Badan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu baru-baru ini telah meletakkan tapak itu berada dalam keadaan terancam berikutan konflik yang berlaku di Syria sejak kebelakangan ini.

Aswad merupakan antara berpuluh-puluh pengunjung yang melawat dan mengambil gambar teater purba tersebut baru-baru ini, sebagai sebahagian daripada perancangan ekopelancongan negara itu yang menjadikan lokasi ini sebagai salah satu destinasi yang menarik perlu dikunjungi di Syria dan diluluskan oleh Kementerian Pelancongan di negara tersebut.

“Saya telah mengembara sejauh 700 kilometer dari utara Syria hanya kerana untuk melihat teater ini selepas mendengar kehebatan tapak itu daripada orang ramai,” kata lelaki yang berusia 23 tahun itu kepada media AFP dan berasal dari kota Aleppo di wilayah utara.

Pasukan rejim telah berjaya menguasai kembali wilayah Daraa pada bulan Julai tahun lepas, buat pertama kali setelah enam tahun berlalu.

Pemberontak telah berjaya menakluki bandar Bosra pada 2012 dan kemudian menakluki sepenuhnya wilayah ini pada 2015.

Abdelaziz Al-Aswad menyuarakan kegembiraannya melihat tapak warisan itu masih mampu bertahan dengan perang saudara yang berlaku selama tujuh tahun di negara itu. – AFP
Tapak arkeologi ini mempunyai sekitar 80,000 penduduk dan terdiri daripada pelbagai latar belakang dan agama seperti Islam dan juga Kristian. – AFP

“Saya fikir teater ini akan musnah namun nampaknya ia masih lagi bertahan walaupun berdepan dengan peperangan,” kata Aswad, yang mengenakan skarf yang mengandungi perkataan ‘I’m Syrian’.

Berpuluh-puluh pengunjung termasuk beberapa pelancong membuka payung dan meredah hujan gerimis, menaiki tangga batu dan melihat pemandangan yang menakjubkan dari atas teater tersebut.

Di sekeliling teater itu terdapat juga lakaran dan sebuah lorong yang mengandungi tangga, lubang kecil untuk memasuki pentas utama dan banyak lagi yang menarik serta menakjubkan.

Pada zaman dahulu, Bosra merupakan salah satu ibu kota wilayah Rom di tanah Arab dan merupakan kawasan persinggahan penting khususnya laluan kuno ke Mekah, kata UNESCO.

Tapak arkeologi ini mempunyai sekitar 80,000 penduduk dan terdiri daripada pelbagai latar belakang dan agama seperti agama Islam dan juga Kristian.

Banyak tempat menarik dan indah

Khaled Nawaylati salah seorang penganjur berkata bahawa dia sangat gembira kerana dapat menemui teater Bosra semasa berkunjung buat pertama kali ke kawasan itu.

“Anda tidak boleh bayangkan tentang kegembiraan saya setelah mengetahui tapak tersebut masih lagi selamat dan terpelihara,” katanya.

Menurut Wafi Al-Dous, Ketua Majlis Sivil Tempatan bahawa lebih daripada lima peratus teater tersebut mengalami kerosakan dan telah dibaikpulih.

Beratus-ratus tapak arkeologi telah dimusnahkan atas sebab-sebab tertentu malah ada juga pihak yang menyalahkan penduduk berdekatan yang telah melakukan aktiviti penggeledahan.

Sebelum perang, industri pelancongan merupakan sumber utama bagi perekonomian Syria selepas sumber eksport minyak.

Namun selepas kejadian penindasan kejam anti-kerajaan pada tahun 2011, beberapa kempen juga turut diadakan malah para penduduk dan pelawat digesa untuk tidak melawat kawasan-kawasan ini.

Berikutan dengan konflik pertempuran dan pengeboman di seluruh negara, pelancongan di negara itu turut menerima kesan dan jatuh menjunam.

“Sektor pelancongan di negara ini terhenti pada tahun 2011 dan pelancong semakin menjauhi Syria,” kata Dous, yang melarikan diri dari Bosra ketika pemberontak menakluki kawasan ini pada tiga tahun yang lalu.

Dia baharu sahaja kembali ke Syria malah mengetahui Syria telah berada di bawah kawalan pihak kerajaan namun Dous optimis.

“Pemuliharaan tapak ini akan dilakukan tidak lama lagi,” kata Dous.

Teater ini pernah digunakan sebagai lokasi persembahan konsert yang dijemput dari Lubnan, Fairuz malah penduduk Syria berasa gembira kerana dapat melihat beberapa pelancong telah datang ke negara mereka dan ia merupakan satu perkara yang baik.

Di tengah-tengah pentas teater Rom itu, Manal yang berusia 30 tahun berdiri tegak untuk bergambar bersama anak perempuannya yang berusia tujuh bulan setelah melawat kawasan itu selama sehari dari Damsyik.

“Kami telah melancong ke luar Syria, lantas kali ini, kami mahu melawat negara kami kerana Syria terdapat banyak kawasan yang cantik untuk dikunjungi dan dilawati,” katanya. – AFP