Tedros dicalon ketua WHO penggal baharu

BERLIN, 22 SEPT – Jerman berkata hari ini ia telah mencalonkan ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus untuk penggal baharu, dengan sumber diplomatik berkata beliau nampaknya satu-satunya calon yang disenaraikan.

Dengan pencalonan Jerman terjamin, bekas menteri kesihatan dan luar Etiopia berusia 56 tahun itu nampaknya satu-satunya calon yang bertanding sehari sebelum tarikh akhir untuk penghantaran senarai ditutup esok.

Tedros dipilih sebagai ketua WHO pada 2017 dan menjadi warga Afrika pertama yang menerajui pucuk kepimpinan agensi kesihatan PBB itu.

Beliau masih belum mengesahkan beliau ialah calon untuk penggal lima tahun kedua, tetapi beberapa sumber diplomatik berkata beliau akan bertanding. Apabila ditanya oleh AFP sama ada beliau akan bertanding pada sidang media hari ini, Tedros enggan memberikan jawapan.

Tedros adalah calon popular disebabkan peranannya dalam memimpin usaha WHO untuk menyelaras respons pandemik global.

Namun pencalonannya telah menerima bantahan selepas Etiopia didakwa menarik sokongannya berhubung konflik di rantau Tigray.

Calon untuk jawatan tertinggi badan kesihatan PBB pada umumnya dicalonkan oleh negara asal mereka.

Pada dasarnya, mana-mana negara anggota WHO boleh menyokong sebarang calon dan Tedros dijangka menerima sokongan dari sekurang-kurangnya sebuah negara. Namun pencalonan oleh Jerman telah mengejutkan banyak negara. – AFP

Tedros Adhanom Ghebreyesus menghadiri sidang media yang dianjurkan oleh Persatuan Wartawan PBB Geneva di ibu pejabat WHO di Geneva. Tedros telah dicalon sebagai ketua WHO untuk penggal kedua. – AFP