Wednesday, April 24, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Tegahan eksport gandum, mimpi buruk buat petani

    KHANNA, INDIA – Apabila New Delhi melarang penghantaran gandum kerana harga melambung tinggi akibat pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, ia mencetuskan kebimbangan sehingga ke peringkat antarabangsa dan mendorong harga komoditi penting itu menjadi lebih tinggi.

    Petani dan peniaga di India kini berasa marah kerana mereka telah mengalami kerugian yang amat banyak apabila harga gandum tempatan telah menjunam.

    Walaupun India adalah pembekal gandum kedua terbesar di dunia, kerajaan, yang juga pembeli terbesar bijirin di negara berkenaan, menyatakan bahawa ia memutuskan untuk mempertahankan sekuriti makanan bagi penduduknya yang ramai atas kebimbangan inflasi.

    Langkah tersebut, yang diburukkan lagi dengan masalah bekalan global yang berkura-ngan dari Rusia dan Ukraine, dua daripada lima pengeksport gandum terbaik dunia, telah melonjakkan harga ke paras tertinggi sepanjang masa di Chicago dan bursa komoditi Eropah.

    Bagaimanapun, harga jatuh di pasaran bijirin terbesar di Asia di Khanna, di negeri Punjab, India.

    Beribu-ribu petani dari wilayah penanaman gandum menjual barangan mereka di kemudahan berkenaan, yang dikuasai oleh puluhan struktur penyimpanan besar-besaran seluas padang bola sepak.

    Seorang pekerja yang menunjukkan hasil tepung gandum yang telah diproses di kilang tersebut. – AFP
    Pekerja membawa beberapa guni gandum untuk dimuatkan ke dalam kereta api yang memunggah barang di stesen kereta api Chawa Pail di Khanna, negeri Punjab. – AFP
    Beberapa orang buruh bekerja di dalam kilang tepung gandum selepas proses penapisan. – AFP

    Sementara itu, harga untuk 100 kilogram gandum turun daripada 2,300 rupee (kira-kira AS$30) sebelum sekatan eksport kepada 2,015 rupee, harga minimum yang ditetapkan kerajaan untuk membeli bijirin untuk sistem pengedaran awamnya yang besar.

    Beratus-ratus juta petani berskala kecil di India tinggal di pinggir, terdedah kepada cuaca sukar diramal, dan beberapa kawasan tanaman di Punjab sudah terjejas akibat kehilangan tanaman yang disebabkan oleh gelombang panas yang teruk.

    Menurut apa yang dikatakan oleh mereka bahawa penurunan harga mencerminkan perbezaan antara mendapat pembayaran yang besar atau kekecewaan.

    Navtej Singh, seorang petani, menyimpan separuh daripada hasil tuaian gandum 60 tannya untuk dijual semasa musim sukar apabila harga secara amnya melonjak, dan dengan keputusan kerajaan yang mengejutkan.

    Dia kini terkapai-kapai cuba menjual baki simpanannya.

    “Larangan ini mengejutkan saya,” katanya kepada AFP.

    “Kos telah dikurangkan kepada minimum yang mutlak dan ia tidak juga dapat menampung perbelanjaan kami. Saya tidak boleh menunggu satu hari pun.”

    Dia mendakwa bahawa pihak berkuasa telah bertindak ‘mementingkan diri sendiri’ dan tanpa merujuk kepada sesiapa.

    “Kami telah mengalami kerugian dalam pengeluaran tahun ini, dan perintah larangan tersebut telah menyukarkan kehidupan kami,” tambahnya.

    ‘Beri makan semua’

    Sebelum konflik Ukraine dan gelombang haba, pengeluaran gandum India merekodkan sebanyak 109 juta tan pada 2021 dan eksport tujuh juta tan kedua-duanya diramalkan me-ningkat pada tahun ini.

    Pada bulan yang lalu, Perdana Menteri Narendra Modi malah menawarkan diri untuk membantu merapatkan jurang gandum global dan menyediakan sumber makanan kepada seluruh dunia.

    Walaupun dengan keadaan cuaca yang melampau, sebaliknya, ia menjadi sesuatu yang kerap berlaku apabila ahli pakar mengatakan bahawa ia dikaitkan dengan perubahan iklim. Berikutan gelombang panas di Punjab, tanaman negara adalah empat juta tan lebih rendah daripada yang dijangkakan.

    Memandangkan rancangan keselamatan makanan yang ditubuhkan semasa wabak koronavirus dikurangkan, pihak berkuasa persekutuan dan negeri mengurangkan perolehan untuk sistem pengedaran awam, yang membekalkan bijirin percuma dan bersubsidi tinggi kepada hampir 800 juta orang.

    Walaupun begitu, harga runcit tepung gandum berada pada paras tertinggi dalam tempoh 12 tahun, dan ketua jabatan perolehan bijirin kerajaan Punjab di Khanna, Manish Pajni, telah mengesahkan larangan tersebut dengan mendakwa bahawa kadar borong boleh mencecah 3,000 rupee jika sekatan tidak dilaksanakan.

    Bagaimanapun, peniaga Raj Sood percaya kerajaan sepatutnya mengambil pendekatan tunggu dan lihat sebelum secara mengejut menggantung eksport dan menyebabkan ketidakstabilan dalam pasaran negara.

    “Pasaran sudah pun tertekan dengan masalah tanaman apabila kerajaan mengenakan sekatan,” jelasnya.

    “Walaupun pengeksport besar seperti Cargill, ITC, dan Glencore sudah pasti akan mengalami kerugian besar, peniaga kecil dan petani juga akan terjejas,” tambahnya.

    Walau bagaimanapun, kebanyakan ahli perniagaan Khanna percaya bahawa langkah tersebut hanya akan memberi kesan yang terhad kerana undang-undang dalam pembekalan dan permintaan tidak dapat dielakkan.

    Divender Verma, seorang pemilik kilang tepung, secara amnya mendapat bahan mentahnya daripada inventori kerajaan, tetapi dia berkata bahawa stok tersebut semakin berkurangan.

    “Kami tidak menjangkakan mereka akan dapat membekalkan stok tersebut untuk kami ketika ini. Jadi senario harga gandum tidak menentu,” menurut Verma semasa memberitahu kepada AFP.

    Sementara itu, pembekal swasta sudah pasti akan mengenakan bayaran lebih tinggi, sambil memberi amaran perkara itu akan meningkatkan lagi harga roti dan produk gandum lainnya. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...