Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 MAC – Berkuat kuasa mulai esok (16 Mac), seluruh rakyat dan penduduk di negara ini adalah ditegah keluar negara termasuk negara jiran Malaysia (Sabah dan Sarawak) kecuali dalam keadaan-keadaan tertentu dalam usaha untuk mengawal dan mengekang pertambahan penularan kes COVID-19.
Bagaimanapun, tegahan keluar negara tersebut dikecualikan dalam keadaan-keadaan tertentu seperti mendapatkan rawatan perubatan yang mendesak, menghadiri perbicaraan mahkamah atau menyambung sesi pengajian di luar negara, ini pun tertakluk kepada kebenaran Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Larangan tersebut dikenakan setelah 10 lagi kes baharu disahkan dijangkiti COVID-19 yang membawa jumlah keseluruhan kes di negara ini kepada 50, dengan 886 lagi telah diarahkan untuk menjalani kuarantin.
Perkara tersebut antara yang dijelaskan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, malam ini.
Yang Berhormat Menteri Kesihatan menjelaskan bahawa larangan perjalanan keluar tersebut adalah bagi seluruh rakyat, penduduk dan penduduk tetap di negara ini termasuklah warganegara lainnya yang memegang kad pengenalan hijau.
Sementara itu bagi mereka yang ingin membuat sebarang permohonan berhubung dengan perkara ini, Yang Berhormat Menteri Kesihatan turut menjelaskan bahawa para pemohon bolehlah melakukan permohonan dan menghadapkannya melalui e-mel kepada travelapplication@jpm.gov.bn, bersama salinan dokumen-dokumen dukungan (scanned copies).
Menteri di JPM, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud turut menjelaskan bahawa JPM akan bersedia menerima mana-mana permohonan daripada orang ramai yang dihadapkan berhubung permohonan keluar negara tersebut.
Sementara itu Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei (PDB), Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali turut menjelaskan bahawa PDB memainkan peranan dalam menguatkuasakan akta penyakit berjangkit terutama di bawah seksyen 63 di mana pasukan polis boleh memberikan bantuan kepada pihak Kementerian Kesihatan dalam apa yang diperlukan dan ini berhubung kait dengan mana-mana warga yang belum melaporkan diri maka pasukan polis akan menyediakan bantuan untuk mengesan dan mengarahkan mana-mana warga tempatan yang belum dan akan menjalankan pemeriksaan.
Semasa sidang media itu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham turut menjelaskan bahawa para peserta dari Negara Brunei Darussalam yang menyertai Pontianak Bike Week yang diadakan pada 12 hingga 14 Mac lalu di Kalimantan, Indonesia dan Borneo Ultra Trail Marathon 2020 yang diadakan pada 14 hingga 16 Mac ini di Sabah, Malaysia adalah dikehendaki untuk mendaftarkan diri di Unit Pelabuhan Kesihatan di pos-pos kawalan, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei untuk menerima garis panduan bagi menjalani pengasingan diri (self-isolation) selama 14 hari sebaik sahaja pulang ke negara ini.
