Tegakkan keadilan dengan penuh amanah

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JAN – Dalam merangka perancangan tindakan bagi tahun 2020, seluruh warga Mahkamah Syariah digesa agar sentiasa peka dalam menjaga integriti diri masing-masing dalam menjalankan setiap tugas dengan penuh amanah.

Selain itu, mereka juga diseru untuk sentiasa menjaga imej mahkamah selaku institusi kehakiman yang dipandang tinggi oleh masyarakat dalam menegakkan keadilan mengikut hukum syarak, lebih-lebih lagi setelah pelaksanaan sepenuhnya Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013.

Perkara ini ditekankan oleh Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat/Yang Amat Arif Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar sempena Perhimpunan Tahunan Mahkamah-mahkamah Syariah ke-5 tahun 2020 di Dewan Bangunan Mahkamah-mahkamah Syariah di ibu negara.

Yang Berhormat/Yang Amat Arif Pehin seterusnya berharap supaya setiap warga Mahkamah Syariah tidak kira hakim, pegawai dan kakitangan Mahkamah Syariah untuk sentiasa menjaga amanah yang dipertanggungjawab dalam menjalankan tugas terutama yang berkaitan dengan hukum Allah.

Yang Berhormat/Yang Amat Arif Pehin seterusnya berkata, “Terdapat peningkatan kepada kes mal yang didaftarkan di Mahkamah Rendah Syariah di seluruh negara yang berjaya diselesaikan.”

Yang Berhormat/Yang Amat Arif Ketua Hakim Syarie semasa menyampaikan ucapan sempena Perhimpunan Tahunan Mahkamah-mahkamah Syariah kali ke-5.

Pada tahun 2019, sebanyak 84.76 peratus kes mal berjaya diselesaikan berbanding pada tahun 2018, kes mal yang berjaya diselesaikan di Mahkamah Rendah Syariah adalah sebanyak 97.5 peratus.

Manakala pendaftaran kes mal di Mahkamah Tinggi Syariah bagi tahun 2019 yang berjaya diselesaikan sebanyak 85.7 peratus berbanding purata tahun 2018 sebanyak 96 peratus.

Beliau seterusnya menambah, bagi kes pendaftaran mal di Mahkamah Rayuan Syariah tahun 2019 pula adalah lima kes dan dua kes telah diselesaikan manakala selebihnya masih menunggu rekod rayuan.

Yang Berhormat/Yang Amat Arif Pehin seterusnya menegaskan, melihat kepada jumlah purata kes Mal di Mahkamah Rendah dan Tinggi, terdapat penurunan sebanyak 12.74 peratus dari segi penyelesaian kes mal di Mahkamah Rendah dan penurunan sebanyak 10.3 peratus bagi penyelesaian kes mal di Mahkamah Tinggi Syariah.

Katanya lagi, “Jika dilihat daripada jumlah pendaftaran kes jenayah di Mahkamah Rendah Syariah di seluruh negara dan Mahkamah Tinggi pada tahun 2019 dan 2018, terdapat perbezaan yang sangat ketara dalam aspek berbeza.”

Menurutnya, salah satu aspek tersebut, mengenai penurunan dari segi jumlah pendaftaran kes jenayah yang dihadapkan ke Mahkamah Rendah iaitu sebanyak 162 kes dibandingkan tahun 2018 iaitu sebanyak 187 kes.

Manakala dari 162 kes itu, 79.6 peratus kes dapat diselesaikan berbanding tahun 2018 sebanyak 95.7 peratus kes, sementara pendaftaran Mahkamah Tinggi pula, 88.9 peratus kes dapat diselesaikan pada tahun 2019 dan 98.4 peratus pada tahun 2018. Bagi pendaftaran kes jenayah di Mahkamah Rayuan Syariah bagi tahun 2019 adalah empat kes yang mana juga telah selesai dibicarakan.

Dengan melihat penurunan purata penyelesaian kes mal dan jenayah di Mahkamah Rendah dan Mahkamah Tinggi Syariah bagi tahun 2018 dan 2019 yang lepas, adalah penting bagi pihak mahkamah untuk memastikan punca kepada penurunan purata kes tersebut supaya dapat ditangani.

Yang Berhormat/Yang Amat Arif Pehin dalam ucapannya turut menyentuh mengenai inisiatif yang dilaksanakan oleh pengurusan mahkamah dengan mewujudkan satu kaunter khas untuk pengambilan borang bagi orang ramai yang berurusan di Mahkamah Syariah di daerah ini. Merujuk kepada perangkaan perkhidmatan pelanggan di kaunter Mahkamah Syariah di daerah ini, jelasnya, secara keseluruhannya pada tahun 2019, purata keberhasilan perkhidmatan pelanggan adalah sebanyak 99 peratus.

Melihat kepada purata tersebut, tegasnya, ia menunjukkan perancangan bagi keperluan setiap bahagian dibuat dengan teliti pasti akan membuahkan hasil terbaik dalam meningkatkan perkhidmatan pelanggan, bahkan dalam pengurusan kes di Mahkamah Syariah keseluruhannya.

Yang Berhormat/Yang Amat Arif Pehin dalam ucapannya juga menyentuh mengenai pelaksanaan sepenuhnya kesalahan yang diperuntukkan di bawah Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013.

Beliau percaya, pihak pengurusan mahkamah telah mengambil langkah yang wajar dalam memberikan sepenuh komitmen dalam pelaksanaan dan pengurusan kes yang dihadapkan ke Mahkamah Syariah terutama bagi kes melibatkan hukuman hudud.

“Beberapa inisiatif telah diambil oleh pihak pengurusan dalam pengendalian kes yang melibatkan hukuman hudud dan qisas,” tambahnya.

Menurutnya lagi, sejak berkuat kuasa sepenuhnya perintah berkenaan, sebanyak 84 kes telah dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah dan daripada jumlah tersebut, 52 kes iaitu 61.9 peratus kes dapat diselesaikan dan selebihnya masih dalam proses perbicaraan.

Manakala bagi kes kesalahan yang dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah pula, 16 kes telah didaftarkan, di mana kesemuanya kesalahan tersebut boleh dikenakan hukuman takzir termasuk kesalahan sariqah atau curi dan kes kecederaan.