Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Tegakkan kedaulatan undang-undang

    Oleh Sim Y. H.

    TUTONG, 9 DIS – Dalam konteks keselamatan dan sekuriti negara, belia memainkan peranan yang penting dan instrumental dalam mewujudkan suasana yang kondusif bagi membolehkan pelaksanaan inisiatif-inisiatif pembangunan dan kemajuan negara.

    “Ke arah itu, menegakkan kedaulatan undang-undang iaitu the rule of law, hendaklah diutamakan bagi memastikan tugas dan tanggungjawab dilaksanakan dengan penuh berintegriti dan adil.”

    Seruan itu dibuat oleh Setiausaha Tetap (Sekuriti dan Undang-undang) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Hajah Nor Hashimah binti Haji Muhammed Taib dalam ucapannya pada Upacara Perbarisan Tamat Latihan Rekrut Lelaki Pengambilan ke-169 dan Rekrut Wanita Pengambilan ke-57 yang berlangsung di Padang Kawad Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (IL ABDB), Penanjong Garison, hari ini.

    Beliau menyarankan, adalah penting bagi para rekrut selaku belia muda terus bersemangat dan komited kepada tugas dan tanggungjawab yang bakal ditanai supaya aspirasi pertahanan negara akan dapat dicapai secara inklusif dan holistik.

    Hajah Nor Hashimah seterusnya berkata bahawa memang tidak dinafikan ABDB selaku agensi pertahanan negara mempunyai institusi-institusi latihan tentera yang moden dan berkeupayaan dengan sistem latihan yang berkualiti.

    Hajah Nor Hashimah semasa memeriksa perbarisan rekrut yang tamat latihan.
    Hajah Nor Hashimah semasa menyampaikan ucapannya.

    Ia menjadi acuan dalam membentuk para anggotanya bukan sahaja sedia kerja malahan berperanan dalam menjaga kepentingan awam negara.

    Beliau menambah, perkara itu dapat dilihat dengan penglibatan aktif ABDB berganding bahu bersama agensi-agensi penguatkuasaan yang lain di bawah naungan Jawatankuasa Keselamatan Negara dalam menangani apa jua jenis ancaman yang datang dalam pelbagai bentuk dan dari segenap sudut.

    ABDB juga giat aktif dalam menghulurkan bantuan kepada agensi-agensi kerajaan lain, baik dalam pelaksanaan operasi mahu pun membantu melatih agensi-agensi lain melalui penyediaan kursus-kursus.

    Hajah Nor Hashimah berkata, “Peranan dan keupayaan ABDB dalam operasi selain perang jelas kelihatan, bila mana institusi pertahanan negara ini turut tampil berperanan menangani penularan wabak COVID-19 yang telah melanda negara.”

    Menurutnya, sikap profesionalisme dan disiplin serta adaptasi ABDB yang tinggi kepada suasana persekitaran keselamatan yang dinamik, bukan tradisional dan kian berubah itu, setentunya satu hasil yang dibentuk melalui landasan awal kerjaya para anggotanya iaitu acuan latihan asas ketenteraan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...