Tegur cara berhemah, bijaksana

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OGOS – Islam mengajar umatnya saling tegur-menegur, saling nasihat-menasihati antara satu dengan yang lain kerana teguran dan nasihat itu adalah perbuatan yang dianjurkan dalam agama Islam.

“Perlu diingat, teguran dan nasihat yang hendak disampaikan perlu dilakukan dengan penuh adab dan sopan dan tanpa adab dan tatacara yang betul, ia bukan saja menimbulkan salah faham tetapi boleh menimbulkan kemarahan hingga menyebabkan terjadinya pergaduhan, permusuhan dan persengketaan.”

Khatib menekankan perkara tersebut hari ini semasa menyampaikan khutbah Jumaat bertajuk ‘Menegur dan Menasihati dengan Berhemah dan Bijaksana’, dan seterusnya menambah, adab dan sopan perlu ada dalam menegur, menasihati, memberi sebarang kritikan, kerana menegur dan ditegur, penerimanya berbeza bagi setiap individu kerana tidak semua boleh menerima nasihat dan kritikan.

“Tanamkan sifat berlapang dada dan menerima setiap teguran dan nasihat dengan hati yang terbuka selain niat hendak menegur dan menasihati seseorang itu hendaklah betul iaitu untuk kebaikan dan bukan tujuan untuk menghukum, menjatuhkan maruah, menghina, mengaibkan, berdendam, berniat buruk dan sebagainya,” tegasnya.

Bukan setakat itu, cara menegur dan menasihati juga perlu berhemah, bijaksana dan janganlah sengaja mencari kelemahan dan keaiban orang lain.

Dalam kehidupan ini, jelas khatib, perlunya menjaga dua hubungan iaitu ‘Hablum Minallah’ iaitu hubungan dengan Allah dan ‘Hablum Minannas’ iaitu hubungan dengan manusia.

“Janganlah dijadikan teguran itu penyebab perselisihan, keretakan dan kerenggangan dalam hubungan silaturahim,” tegasnya.

Menurut khatib lagi, ramai daripada kita yang tidak pernah memandang dan memerhati kekurangan dan keburukan yang ada pada diri sendiri tetapi kita selalu saja menghitung kelemahan dan keburukan yang ada pada diri orang lain. Sehubungan itu, khatib dalam khutbahnya mengingatkan untuk memperbetulkan diri sendiri sebelum membetulkan diri orang lain.

Setiap teguran dan nasihat itu, jelas khatib, orang yang menegur mestilah dalam keadaan tenang dan bukan dalam keadaan marah atau emosi hingga menyebabkan melepaskan kata-kata kesat dan yang tidak sepatutnya diucapkan.

Khatib seterusnya menekankan yang semua itu tidak akan dapat menyelesaikan masalah malah hanya akan mengeruhkan keadaan.

Terdapat tatacara menegur dan menasihati seorang itu dengan cara yang baik, jelas khatib dan ini antaranya menggunakan gaya bahasa yang sesuai iaitu lembut dan bersopan.

Jangan sesekali menegur dengan nada suara yang tinggi dan gaya bahasa yang kasar kerana kita menegur bukan untuk menghebohkan dan mendedahkan keaiban orang lain tapi untuk memberi kesedaran dan kefahaman.

Selain itu, elakkan menegur di khalayak ramai, lihat situasi, keadaan dan tegurlah ia ketika bersendirian atau di tempat yang tertutup dan bukan dengan cara menimbulkan malu pada orang yang ditegur.

Di samping itu, tegur dengan cara yang bijaksana dan menggunakan kata-kata yang baik dan bermanfaat supaya tidak menyinggung perasaan pada orang yang ditegur selain berhati-hati dalam memilih perkataan supaya orang itu tidak berasa terhina dan beri nasihat dengan hati dan akal fikiran dan bukan dengan emosi.

Khatib seterusnya menambah, adalah lebih baik, jika dilakukan secara empat mata, dengan cara bersemuka dan bukan dengan menggunakan perantaraan orang lain, media sosial seperti Facebook, WhatsApp, Twitter, Instagram dan sebagainya.

“Tetapi jika terpaksa menggunakan saluran tersebut untuk membuat teguran dan nasihat, dalam perkara ini, jelas khatib, kita perlu bersikap bijak dengan memastikan ayat atau perkataan yang digunakan itu adalah bersesuaian,” tambahnya.

Ini kerana media sosial adalah tempat umum dan terbuka yang boleh saja menimbulkan pelbagai andaian atau persepsi andaian positif atau negatif.

Khatib turut menegaskan, orang yang menegur juga perlu meminta maaf selepas membuat teguran di mana tujuan untuk meminta maaf ini adalah untuk memujuk hati orang yang ditegur supaya jangan sampai berkecil hati terhadap teguran yang telah diberikan.

Selain itu, jangan bersangka buruk dan sentiasa bersangka baik kepada orang yang ditegur kerana mungkin saja mereka itu jahil dan tidak mengetahui apa yang mereka lakukan itu kesilapan dan kesalahan.

Budayakan amalan tegur-menegur, nasihat-menasihati sesama kita dengan cara yang baik, berbudi bahasa dan bijaksana.

“Beri teguran dengan niat ikhlas kerana Allah dan dengan cara penuh berhemah supaya teguran tersebut dapat diterima dengan hati yang terbuka dan terima teguran dengan bersangka baik supaya dapat memperbaiki diri dan mengeratkan silaturahim,” tambahnya.