Friday, February 3, 2023
23.7 C
Brunei

-

Teguran diharap buka mata PPDB

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 DISEMBER – Rata-rata ramai yang menyambut baik teguran yang diberikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa keberangkatan Baginda ke Ibu Pejabat PPDB, di Gadong, baru-baru ini.

Media Permata berkesempatan menemu bual orang awam untuk mendapatkan pendapat mereka mengenai titah yang dikurniakan Kebawah Duli Yang Maha Mulia tersebut.

“Segala teguran yang disampaikan telah membuka mata ramai pihak kerana sebelum ini memang ada kedengaran kes-kes penganiayaan dalam kalangan anggota polis,” kata salah seorang orang awam, Awang Amir, 31 tahun.

“Apa yang menyedihkan lagi, jenayah bukan saja berlaku dalam kalangan orang awam malah dalam kalangan warga Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) sendiri.

“Sedangkan kita memerlukan anggota PPDB untuk membanteras segala kejadian jenayah ini,” tambahnya.

Menurut beliau lagi, kejadian-kejadian seperti ini tidak sepatutnya berlaku lagi pada masa akan datang.

Sementara itu, Dayang Nurul Atiqah, 26 tahun, pula agak terkejut setelah mengetahui mengenai kejadian-kejadian seperti rasuah, penganiayaan, pecah amanah, judi dan sebagainya juga terjadi dalam kalangan warga PPDB.

“Ini memang mengejutkan dan menyedihkan kerana pegawai dan anggota polis adalah sepatutnya yang kita harapkan untuk menumpaskan jenayah,” kata beliau.

Awang Amir dan Dayang Nurul Atiqah berharap setelah diberikan teguran oleh Baginda Sultan sendiri, segala jenayah dalam kalangan warga PPDB sendiri tidak akan berlaku lagi agar mereka dapat dipercayai oleh kalangan orang awam.

Manakala Awang Saiful, 40 tahun, pula menyentuh titah Baginda Sultan mengenai kronisme dan nepotisme.

“Saya harap terutamanya kepada pegawai-pegawai atasan PPDB tidak lagi mengamalkan perbuatan kronisme dan nepotisme kerana perbuatan tersebut sangat merugikan kerajaan dan masyarakat,” kata Awang Saiful.

Beliau juga berharap teguran tersebut bukan hanya diambil maklum oleh kalangan warga pasukan PPDB, tetapi juga orang ramai yang lain agar negara menjadi lebih maju dan dijauhi daripada perkara-perkara yang tidak diingini.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Hong kong tawarkan penerbangan percuma selepas COVID

HONG KONG, 2 FEB - Hong Kong bersedia untuk mengalu-alukan kembali pengunjung dari seluruh dunia, kata pemimpinnya hari ini, ketika dia mengumumkan penerbangan percuma...

Korea Utara beri AS amaran

- Advertisment -