Teguran warganet sedarkan Fathia

Selepas hampir setahun tidak menimbulkan kontroversi mengarut, pelakon Nur Fathia Abdul Latiff, 33, enggan lagi mengulangi kesilapan lampau.

Cukuplah dirinya dihambat cerita panas berkaitan video aplikasi Bigo Live yang memahat malu sepanjang hidup pada tahun 2017 hingga terus dikritik dan dihentam, berikutan pelbagai isu memalukan.

Hidup pelakon kacukan Melayu, Indonesia dan Arab itu tidak pernah sunyi daripada isu mencalarkan imej, selain satu persatu aibnya terdedah menjadi bahan kecaman warganet sejak beberapa tahun lalu.

Hampir setahun timbul tenggelam, Fathia mengakui: “Kontroversi sebenarnya mendewasakan saya. Tidak dinafikan, penghinaan dan cacian yang dilemparkan warganet menyedarkan serta menjadikan saya manusia lebih baik.”

Sejak memutuskan membuka hijab lebih setahun lalu, Fathia bagai hilang daripada radar dunia hiburan. Tindakannya memadamkan hampir keseluruhan foto dalam laman Instagram (IG) menimbulkan tanda tanya.

Berikutan dengan peningkatan umur, Fathia membuat keputusan kembali berhijab kerana tidak mahu menangguhkan hasrat untuk berubah. – Agensi

Namun, Ramadan lalu, Fathia kembali mencuri tumpuan apabila memuat naik foto kembali bertudung. Bagaimanapun, ramai yang skeptikal dengan perubahannya, malah ada yang menuduhnya mempersendakan agama.

Enggan mempedulikan pandangan negatif, wanita kelahiran Ayer Hitam, Pulau Pinang itu berkata, perubahan dilakukan untuk diri sendiri bukan memuaskan hati orang luar.

“Saya berubah kerana Allah SWT, bukan untuk warganet. Keputusan kembali bertudung timbul atas kesedaran sendiri. Kenapa saya perlu memikirkan cakap orang? Apa yang penting, sokongan keluarga.

“Sejak membuat keputusan kembali berhijab, saya rasa satu ketenangan. Umur sudah mencecah 33 tahun, jadi saya tidak mahu menangguhkan hasrat untuk berubah. Saya tidak mahu tunggu sudah tua, baru nak berubah,” katanya kepada media.

Walau bagaimanapun setiap perkara baik yang dilakukan pasti berdepan dengan cabaran, ia tidak terkecuali buat Fathia.

Bimbang hati berbolak-balik, kata Fathia, dia sentiasa membiasakan dirinya dengan memperbanyakkan zikir dan istighfar setiap kali fikiran menerawang memikirkan perkara bukan-bukan. – Agensi