Thursday, April 18, 2024
28.5 C
Brunei

    -

    Teh tarik imbau kenangan kampung halaman di HK

    HONG KONG – Di London, Wong Wai-yi amat merindui suasana yang membangkitkan kenangan di kampung halaman.

    Setahun yang lalu, pemuzik berusia 31 tahun itu menetap di Hong Kong, mencari nafkah dengan menggubah lagu untuk televisyen dan filem serta mengajar piano.

    Hari ini, dia meraih hampir dua kali ganda berbanding gajinya di Hong Kong dengan bekerja sebagai pelayan sambilan di London.

    Dia memilih kerja itu sebahagiannya disebabkan pekerja diberi makanan percuma yang membolehkannya berjimat tanpa berbelanja ke atas makanan.

    Ia merupakan satu penyesuaian yang sukar. Dan Wong, yang meninggalkan Hong Kong bersama teman lelakinya pada Januari, telah beralih kepada minuman asasi kampung halamannya untuk meneruskan kelangsungan hidup, iaitu teh tarik.

    Dia membawa minuman itu ke majlis parti bersama kawan-kawan Hong Kong dan memberi minuman botol tersebut kepada rakan sekerja sebagai hadiah.

    Pelajar membancuh teh dalam teko semasa kelas membuat teh tarik ala Hong Kong di Institut Teh Susu di Hong Kong. – AP

    Yan Chan (depan kanan) bercakap kepada pelajar semasa kelas membuat teh tarik ala Hong Kong di Institusi Teh Tarik Hong Kong. – AP

    “Ia bagaikan peringatan kepada diri saya bahawa saya adalah warga Hong Kong. Ia tidak menimbulkan masalah asalkan kami sanggup mengharungi kesukaran dan bekerja keras,” ujar Wong, yang meninggalkan Hong Kong sebagai sebahagian daripada penghijrahan yang bermula selepas Beijing meluluskan undang-undang yang mengawal kebebasan awam pada 2020.

    Tatkala puluhan ribu penduduk meninggalkan Hong Kong untuk menjalani kehidupan baharu di luar negara, kebanyakannya mengidamkan rasa minuman yang telah menjadi lambang budaya bandar: teh pekat manis dengan susu sejat yang dihidangkan panas atau sejuk di restoran yang digelar cha chaan tengs. Bengkel-bengkel telah muncul untuk mengajar profesional cara-cara membuat teh dengan mahir dan perniagaan teh susu telah berkembang di luar Chinatown di Britain.

    Di Hong Kong, teh tarik ialah minuman kegemaran ramai, sesuatu yang disajikan bersama roti telur goreng di atas pinggan plastik. Ia amat disukai sehingga anggota gerakan bantahan Hong Kong telah menggelar diri mereka sebahagian daripada ‘Perikatan Teh Susu’ dengan aktivis dari Taiwan, Thailand dan Myanmar, menikmati minuman yang sama.

    Berikutan undang-undang yang menutup mulut atau memenjarakan penentang politik, lebih 133,000 penduduk telah mendapatkan visa khas yang membenarkan mereka menetap dan bekerja di United Kingdom (UK) dan memohon kerakyatan British selepas enam tahun. Angka rasmi tidak dikeluarkan mengenai jumlah penduduk yang telah berhijrah tetapi kebanyakan penerima dijangka akan merebut peluang tersebut disebabkan kos visa yang murah.

    Aktivis dalam buangan, Lee Kawai berkata meluangkan masa di kafe ala Hong Kong di London dengan secawan teh susu merupakan satu ‘kemewahan.’

    Pemuda berusia 26 tahun itu melarikan diri dari Hong Kong pada Mac tahun lalu didorong kebimbangan akan ditahan oleh pihak berkuasa. Dia dikehendaki oleh badan pencegah rasuah kerana didakwa menghasut orang lain memulaukan pilihan raya badan perundangan pada Disember 2021. Sebagai pencari suaka di Britain, dia tidak dibenarkan bekerja dan menyara hidup dengan wang simpanannya.

    Walaupun jika rasanya sama seperti yang asli, suasana cha chaan teng dan suara pelanggan berborak dalam bahasa Kantonis tidak setanding dengan suasana di Hong Kong.

    “Ia pelik kerana saya dapat merasakan suasana kampung halaman di luar negara. Namun ia juga mempunyai erti lain – adanya sesuatu yang tidak dapat diganti,” katanya. “Apa yang kami paling rindukan adalah pulang dan melihat Hong Kong yang lebih baik. Namun kami tidak dapat berbuat demikian.”

    Sesetengah pendatang, seperti Eric Tam, seorang pengurus berusia 41 tahun di sebuah syarikat insurans, mendaftar dalam kursus teh tarik sebelum meninggalkan negara. Melawat Hong Kong pada bulan ini, dia menyimpan adunan teh susu, resipi yang berevolusi daripada teh British dalam era penjajahan.

    Sementara teh senang dicari di England, dia berkata rasanya adalah tidak sama: “Teh susu British rasanya seperti susu cair,” menurut Tam.

    Sebelum berpindah ke Liverpool bersama isteri dan dua anak perempuannya pada Jun, Tam mendaftar untuk kursus teh tarik di Institusi Teh Susu Hong Kong.

    Pertubuhan berusia dua tahun itu mengajar pelajar kemahiran seperti menuang teh berulang kali di antara cerek dan bekas plastik untuk menambah lagi rasanya sebelum mencampurkannya dengan susu sejat.

    Yan Chan, pengasas sekolah, meramalkan kira-kira 40 peratus daripada 2,000 orang yang telah belajar bersamanya merancang untuk berhijrah.

    Teh tarik hanya mula muncul sebagai simbol identiti Hong Kong sejak 15 tahun lalu, kata Veronica Mak, profesor madya di jabatan sosiologi Universiti Shue Yan di Hong Kong.

    Mak berkata kebanyakan orang muda mula memikirkan mengenai identiti Hong Kong selepas kerajaan merobohkan Queen’s Pier, tempat bersejarah era penjajahan lampau bandar raya, pada 2007. Kenangan zaman kanak-kanak, pemasaran dan fesyen tempatan bergabung untuk menjadikan teh tarik satu simbol kebudayaan Hong Kong.

    “Apabila awda bertanyakan orang muda jenis teh tarik kegemaran mereka, mereka akan memberitahu teh susu,” katanya, merujuk kepada sejenis minuman dari Taiwan. “Namun apabila ia membabitkan identiti, mereka tidak akan berkata teh susu tetapi teh tarik tempatan.”

    Kebanyakan penggemar teh tarik yang ditemu bual memberitahu Associated Press bahawa teh tarik bukan bersifat politik. Namun Tam berkata ia wujud dalam bentuk tentangan senyap.

    “Kami boleh memilih untuk memulihara budaya yang ingin kami kekalkan. Ia tidak dapat dihapus walaupun sekiranya orang lain cuba melakukannya.”

    Budaya teh kontemporari Asia semakin diterima di seluruh dunia. Di luar Chinatown, sekurang-kurangnya lima jenama teh tarik ala Hong Kong telah muncul sejak dua tahun lalu di Britain. Seorang pendatang mendirikan kafe sementara di kawasan mewah Shoreditch di London pada September, menarik warga London dan pelancong serta pendatang Hong Kong.

    Eric Wong, pemborong teh, mula menjual teh tarik botol pada 2021 setelah berpindah ke UK, dan menawarkan bengkel teh. Dia menghasilkan 500 hingga 1,000 botol teh tarik seminggu, dan perniagaannya di selatan London pulang modal selepas enam bulan. Produknya, Teh Tarik Hong Kong Trini boleh diperoleh dalam talian dan juga di pasar raya besar di Asia.

    Rasa suasana kampung halaman boleh membangkitkan emosi yang kuat. Seorang wanita muda dari Hong Kong pernah menangis selepas merasa tehnya, kata Wong.

    Di antara orang yang merancang berhijrah dan minat yang semakin berkembang dalam budaya tempatan, Chan sibuk menganjurkan kedua-duanya. Pada 3 November, sembilan orang menghadiri kelasnya, tidak ada seorang yang mempunyai rancangan untuk berhijrah.

    Penggemar makanan, Dennis Cheng menghadiri kelasnya pada akhir September dan berlatih menuang teh istimewa sementara bersedia meninggalkan Hong Kong bersama isteri dan anaknya.

    Dia berkata rasa tersebut akan membantu mengingatkannya tentang Hong Kong dan kawan-kawannya di kampung. “Ia mungkin membantu saya rasa penghijrahan ke luar negara tidaklah begitu menyedihkan. Hanya saya memerlukan lebih banyak masa untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran di sana,” ujarnya. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Utusan AS ke PBB berikrar sokong keluarga Jepun yang diculik Korea...

    TOKYO, 18 APRIL - Amerika Syarikat (AS) berdiri bersama Jepun sehingga semua warga Jepun yang diculik oleh Korea Utara beberapa dekad lalu pulang ke...