Wednesday, April 24, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Tekad teruskan legasi badundang

    Oleh Salawati Haji Yahya

    Satu ketika dahulu, aktiviti badundang sering diadakan di majlis-majlis keramaian seperti majlis perkahwinan yang bertujuan untuk memeriahkan lagi majlis berkenaan.

    Para padundang akan dijemput yang biasanya terdiri daripada golongan warga emas yang akan berbalas pantun sambil bermain gendang dan para tetamu turut mengiringinya dengan tarian bagi mengisi aktiviti hiburan dalam majlis tersebut.

    Seiring berjalannya waktu, persembahan badundang ini sudah jarang dilihat di majlis-majlis keramaian sehinggakan sesetengah generasi muda kurang mengetahui tradisi bermukun ini.

    Dalam usaha untuk mengetengahkan dan memperkenalkan tradisi bermukun ini kepada generasi muda, Pesta Buku Brunei 2022 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) baru-baru ini telah mengadakan bengkel badundang yang bukan saja memberi peluang orang ramai untuk mempelajari teknik badundang malah secara tidak langsung mendedahkannya kepada generasi muda sebagai warisan masyarakat Brunei.

    “Apa yang penting dalam badundang ini, adalah minat. Apabila sudah ada minat, ia dengan sendirinya akan dapat membawakan irama yang cantik,” jelas Hajah Zaliha binti Awang Damit semasa di temui di bengkel berkenaan.

    Beliau merupakan ketua dalam Kumpulan Pandundang Bersaudara mengongsikan, kumpulan ini mula ditubuhkan sejak tahun 2004 yang mana ahli-ahlinya terdiri daripada saudara terdekat.

    Ketika mengulas lanjut, bagaimana mula tertarik untuk mendalami dan mempelajari badundang ini, beliau menyatakan ia bermula daripada minat dan ditambah lagi berasal daripada keluarga yang pandai badundang.

    Menurutnya, sejak remaja mereka sering mengikuti orang yang lebih berusia ke majlis-majlis perkahwinan untuk badundang dan di sanalah mula timbul minat untuk mendalami lagi teknik dan cara badundang yang betul.

    Katanya lagi, “Empat alunan yang masih digunakan dalam badundang seperti Alus Jua Dendang, Samalindang, Dong-Dong Oma dan juga Yadan Yadan.”

    Selain itu, beberapa irama lain juga sering digunakan dalam badundang seperti Irama si Jafar, Irama Temburong dan Irama Beranyut.

    Hajah Zaliha, juga menjelaskan Rapan juga perlu dijaga dengan baik bagi mengekalkan bunyi pukulan bukan saja nyaring tetapi mampu menghasilkan bunyi yang indah dan tidak sumbang apabila dipukul. Pada bengkel itu, beliau ditemani oleh dua orang lagi ahlinya, Dayang Hasnah binti Mudin dan Hajah Noriah binti Haji Nordin.

    Persembahan daripada Pandundang Bersaudara pada Pesta Buku Brunei 2022 anjuran DBP, baru-baru ini.
    Untuk menjadi seorang pandundang, mestilah memiliki minat, jelas Hajah Zaliha.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...