Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Tekad teruskan legasi jual produk seramik

    KOTA BHARU – Minat yang mendalam dalam bidang pembuatan seramik sejak kecil mendorong Amirah Awang, 25, nekad meneruskan legasi perniagaan bapanya sejak 30 tahun lepas supaya produk seramik tidak pupus ditelan zaman.

    Siswazah Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam jurusan Pengurusan Sistem Pejabat itu berkata walaupun perniagaan itu tersasar jauh dari bidang pengajiannya, beliau tidak pernah menyesal dengan keputusan untuk menghasilkan produk hiliran tradisional hingga mampu meraih pendapatan mencecah RM15,000 sebulan.

    Menurut Amirah, sejak kecil beliau sering melihat bapanya, Awang Yusof, dan ibu, Mazura Zakaria, kedua-duanya berusia 54 tahun mengusahakan perniagaan seramik sebagai punca pendapatan keluarga.

    “Sudah tiba masanya saya meneruskan legasi perniagaan ini bagi membalas jasa ibu bapa kerana saya mempunyai pengalaman dalam proses pembuatan produk seramik menggunakan tanah liat ini,” katanya yang ditemui pemberita di premis perniagaannya, Zutah Crafts di Kampung Seribong dekat Pasir Tumboh.

    Anak sulung daripada empat beradik itu berkata penghasilan produk seramik agak rumit kerana perlu melalui banyak proses bermula daripada membentuk, mengering, membakar dan mengukir.

    “Saya memerlukan sekitar 100 kilogram (kg) tanah liat yang diperoleh dari kawasan sekitar setiap hari untuk diproses bersama air di dalam mesin pembancuh khusus untuk mencairkan tanah berkenaan.

    “Bagi memastikan tanah liat yang dihasilkan sekata, ia akan ditapis terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam acuan mengikut bentuk dikehendaki antaranya pasu, buah epal, kek cawan, silinder dan sebagainya,” katanya yang dibantu tujuh pekerja.

    Amirah berkata sekiranya cuaca panas, acuan yang digunakan kebiasaannya akan mengambil masa sehari untuk dikeringkan dan dicat serta diukir mengikut permintaan pelanggan sebelum dibakar di dalam ketuhar selama lima jam.

    “Setiap hari saya mampu menghasilkan kira-kira 700 biji produk seramik yang dijual pada harga serendah RM1.80 hingga RM5 bergantung kepada saiz dan bentuk.

    “Bagi pelanggan dari negeri lain, saya akan menggunakan khidmat pos dan sekiranya terdapat kerosakan pada produk itu, saya akan menggantikannya semula atau mengembalikan semula wang mereka,” katanya sambil menambah rata-rata pelanggannya menjadikan produk seramik itu sebagai cenderahati untuk majlis perkahwinan dan sebagainya.  – Bernama

    Amirah Awang, bersama seorang pekerjanya Nik Al Hafiz Hamzan, menuangkan bancuhan tanah liat ke dalam acuan khusus sebelum dikeringkan selama sehari. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...