Tekanan AS jejas jualan Huawei

SHANGHAI, 11 JUN – Ketua strategi Huawei berkata hari ini syarikat itu sepatutnya menjadi pengeluar telefon pintar nombor satu pada akhir tahun jika bukan disebabkan keadaan ‘yang tidak dijangka’ – satu petunjuk bahawa tekanan daripada AS mungkin menjejaskan jualannya.

Komen oleh Shao Yang pada Pameran Elektronik Pengguna di Shanghai keluar tatkala Washington menambah tekanan ke atas negara lain untuk menyingkirkan Huawei Technologies daripada rangkaian telekom generasi akan datang, atau 5G di mana ia dianggap sebagai pemimpin industri.

“Jika kami tidak menghadapi apa-apa yang tidak dijangka, kami sepatutnya menjadi nombor satu di dunia pada suku keempat,” kata ketua strategi Huawei, Shao Yang. “Namun sekarang kami perlu menunggu lebih lama untuk mencapainya,” kata beliau, tanpa merujuk secara langsung kepada Presiden Donald Trump atau perang perniagaan.

Washington pada bulan lalu meletakkan Huawei dalam senarai hitam yang mengharamkan firma AS daripada menjual kepada syarikat itu tanpa kebenaran dari kerajaan. Tindakan itu merupakan sebahagian daripada perbalahan perniagaan di antara China dan AS, yang telah menuduh syarikat teknologi China seperti Huawei mencuri rahsia perniagaan dan mengancam keselamatan siber, kemungkinan atas permintaan Parti Komunis.

Trump telah mengenakan tarif 25 peratus ke atas eksport China bernilai AS$250 bilion dan sedang bersedia untuk menambah lagi tarif berjumlah AS$300 bilion.

Beliau berkata pada hujung minggu bahawa langkah seterusnya mungkin diambil jika Presiden China Xi Jinping memilih enggan bertemu dengannya pada sidang kemuncak Kumpulan 20 di Osaka pada akhir bulan.

Perang tarif di antara dua ekonomi terbesar mencerminkan penentangan berhubung lebihan dagangan China yang besar dengan AS dan berhubung cita-cita China untuk membantu industrinya sendiri memimpin dalam teknologi utama seperti robotik dan kecerdasan buatan.

Huawei telah menafikan ia berkongsi rahsia pengguna dengan kerajaan China dan menuntut AS memberikan bukti untuk menunjukkan risiko sedemikian wujud. Sebelum itu, ia menegaskan perbalahan perniagaan dengan Washington tidak menjejas perniagaan globalnya. – AP

Pelawat melihat telefon pintar daripada firma teknologi China Huawei pada Pameran Elektronik Pengguna di Shanghai kelmarin. Huawei berkata kelmarin ia sepatutnya menjadi pengeluar telefon pintar nombor satu dunia pada akhir tahun jika bukan disebabkan keadaan ‘tidak dijangka’, satu petunjuk bahawa tekanan daripada AS mungkin menjejaskan jualannya. – AP