LONDON, 25 DIS – Pemecatan Slaven Bilic oleh West Brom minggu lalu menjadikannya antara pengurus yang paling awal tersingkir dalam musim Liga Perdana Inggeris dengan liga itu melihat akan adanya lagi pemecatan pengurus kali ini.
Pemecatan berikutnya mungkin akan berlaku pada waktu terdekat dengan beberapa pengurus kini berdepan dengan tekanan untuk mengendalikan kelab masing-masing untuk menerajui liga demi masa depan mereka.
AFP Sport meninjau tiga pengurus yang mungkin bergelut untuk mempertahankan masa depan pada musim ini.
Arteta sasar tewaskan Blues
Kejayaan Mikel Arteta di Piala FA musim lalu dan kemenangan ke atas Liverpool di Community Shield menunjukkan tempoh kehebatannya untuk Arsenal terserlah sekali gus berjaya menenggelamkan pengurus sebelumnya, Unai Emery.
Namun, ketika berdepan dengan perlawanan sengit di halaman sendiri dengan saingan London, masa depan pengurus Gunners itu bertukar suram selepas setahun dan tugasnya sebagai ketua mula diragukan.





Pemain Sepanyol berusia 38 tahun itu menyaksikan permulaan terburuk kelab itu sejak musim 1974/75 – mereka hanya menjaringkan 12 gol – dan berada empat mata di atas zon penyingkiran.
Dia mengatakan pasukannya kini berdepan dengan kesukaran yang menyelubungi kelabnya sehingga badan kelab itu terpaksa membuat keputusan untuk memotong bayaran kontrak para pemain untuk kali pertama sejak 1912/13 ketika mereka dikenali sebagai Woolwich Arsenal.
Sebelum ini, ManchesterCity menambah lagi tekanan ke atas Arteta apabila penyandang juara Piala Liga itu mara ke se-paruh akhir selepas menundukkan Arsenal 4-1.
Bagaimanapun Guardiola mempertahankan Arteta, bekas penolongnya di City dengan berkata: “Dia pengurus yang hebat dan saya tahu rancangannya dan apa yang dia akan lakukan.
“Ini hanya soal waktu dan dia akan melakukannya dengan baik. Bola sepak berubah dalam satu minggu dan begitu cepat,” tambah Guardiola.
Usaha Bruce julang Magpies
Steve Bruce sememangnya sudah mengetahui perkembangan turun-naik dalam pengurusan bola sepak terutamanya selepas kekecewaan pasukannya Newcastle yang tersingkir semasa suku akhir Piala Liga di tangan Brentford.
The Magpies bagaimanapun kelihatan cukup selesa berada di kedudukan 12 liga.
Namun, dengan perjalanan ke Manchester City pada hari Sabtu dan kemudiannya bertembung dengan juara Liverpool beberapa hari kemudian, lapan mata yang memisahkan mereka dari zon penyingkiran dapat memberikan kelegaan mereka dalam kempen kali ini.
Bruce, 59, juga dilihat mendapat sokongan pemilik Magpies, Mike Ashley, tetapi kebanyakan kalangan peminat meluahkan rasa tidak berpuas hati melihat peluang pasukan itu untuk menjulang trofi tersasar jauh dengan gaya permainan yang tidak disenangi mereka.
Tekanan ke atas Bruce juga semakin memuncak selepas ketiadaan aksi dua kapten pemain berpengaruh, Jamaal Lascelles dan bintang Perancis, Allan Saint-Maximin, yang kedua-duanya diuji positif dijangkiti COVID-19.
“Adakah pemain bermain untuk saya? Saya rasa ya,” katanya.
“Mungkin mereka tidak bermain dengan cukup baik, tapi bukan tanpa usaha dan tekad.”
Peluang terakhir Wilder
Bilic mungkin terpinga-pinga selepas menjadi pengurus pertama yang dipecat ketika dia membandingkan pencapaiannya dengan Chris Wilder dari Sheffield United.
Pihak pengurusan Sheffield telah menunjukkan sokongan mereka untuk terus mempertahankan dan memberi kepercayaan ke atas pemain Inggeris berusia 53 tahun itu walaupun hanya memperoleh dua mata musim ini – permulaan terburuk dalam sejarah Liga Perdana.
Wilder berdepan ujian perlawanan sukar menentang Everton di halaman sendiri pada Sabtu tetapi pihak kelab mungkin akan mula hilang kepercayaan jika dia gagal mendapatkan mata di Burnley pada Selasa nanti.
Kekalahan 3-2 kepada Manchester United dan keputusan seri dengan Brighton yang bergelut telah memberikan harapan kepada Wilder.
“Sekiranya kita tidak menunjukkan sikap yang tepat, kita akan tewas – kita memahaminya, jadi itu tidak akan berlaku,” katanya.
“Paling tidak ada sedikit harapan di hujung selepas dua perlawanan terakhir.” – AFP






























