Tekanan petugas perlu diurus baik

KOTA KINABALU, 22 NOV – Kesatuan Perkhidmatan Perubatan Sabah (SMSU) memohon kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan memperkemas langkah dan strategi menjaga kesihatan mental petugas kesihatan yang kini berdepan cabaran getir susulan pandemik COVID-19.

SMSU amat menghargai langkah memberikan perkhidmatan kaunseling buat petugas kesihatan Sabah dan dari Semenanjung yang bertugas di negeri ini, namun langkah itu diharap dapat berjalan serentak dengan usaha menjaga kebajikan bagi memastikan petugas mampu melaksana tugas dengan berkesan.

Presiden SMSU Ajulahin Japin berkata pihaknya ada menerima laporan petugas kesihatan di negeri ini terpaksa bertugas syif 12 jam bagi mengekang pandemik itu, justeru tekanan dihadapi petugas berkenaan perlu diurus baik melalui sesi kaunseling dan mengimbangi beban kerja petugas tersebut.

“Kebanyakan kes kita lihat seorang didapati positif COVID-19 bukan hanya dia seorang sahaja malah orang sekeliling dan kontak rapat dia juga dikuarantin menyebabkan ini secara automatik tempat itu (kemudahan kesihatan) akan berlaku kekurangan petugas.

“Petugas kurang, kerja terpaksa dibuat itu akan terlebih, ini akan menimbulkan tekanan buat petugas yang tinggal untuk meneruskan tugas. Justeru, perlu ada cara lebih berkesan untuk mengimbangi kekurangan petugas serta situasi lain menyebabkan petugas tertekan,” katanya kepada Bernama.

Ajulahin berkata kesihatan mental yang tidak dijaga dengan baik boleh menyebabkan kualiti kerja petugas kesihatan itu terjejas kerana kualiti kerja itu amat penting ketika berdepan situasi penularan COVID-19 pada masa ini.

Penolong Setiausaha Agung SMSU, Melvin Ebin Bondi berkata terdapat tiga komponen penting yang boleh memberi kesan negatif terhadap kesihatan mental iaitu tekanan, kegelisahan dan kemurungan dan ini perlu dikesan awal dalam kalangan petugas kesihatan terbabit.

“Sekiranya ini tidak dikesan awal dan diurus baik atau tidak dijaga, boleh menyebabkan berlaku masalah mental yang lebih buruk.

Masalah ‘burn out’ juga perlu kita jaga dalam kalangan petugas kerana sekarang kita terpaksa kerja lebih daripada masa kerja normal,” katanya. – Bernama